UMNO Kelantan mengulangi sokongannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan mahukan beliau diberi kebebasan mentadbir negara mengikut gaya kepimpinannya yang telah terbukti berhasil.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata UMNO Kelantan yakin Najib yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) mampu memimpin dan memperkukuhkan lagi parti terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Kita tidak menyokong membuta tuli, kita sokong bukan kerana disogok dengan wang ringgit, kita bukan membodek pemimpin tetapi atas keinsafan perjuangan kita yang besar iaitu untuk memastikan UMNO terus utuh memimpin negara ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan di sini, pada Khamis.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata sudah menjadi tradisi UMNO Kelantan untuk membela pemimpin termasuk semasa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

"Tun Dr Mahathir pernah menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, UMNO Kelantan berdiri teguh di belakang Tun Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO, kita juga mempertahankan Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila beliau diserang maka kali ini (apabila) Datuk Seri Najib diserang hebat, kita tidak memandang ringan perkara ini, kita memandang serius serangan terhadap pemimpin kita," katanya.

Mengenai pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin, Mustapa berkata PRK tersebut adalah ujian untuk membuktikan UMNO terus kuat dengan perpaduan yang kukuh di bawah pimpinan Najib.

"Bukan sekadar untuk mengekalkan majoriti tetapi membawa perubahan yang besar di (PRK) Rompin," katanya.

Beliau berkata UMNO Kelantan ditugaskan untuk menjaga lima Pusat Daerah Mengundi iaitu Keratong 1, Keratong 2, Keratong 3, Keratong 4 dan Keratong 5.

PRK itu diadakan berikutan penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April.

Jamaluddin menjadi anggota Parlimen kawasan itu selama enam penggal dari 1990. Pada PRU 2013, beliau menewaskan Ketua Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 5 Mei sebagai hari mengundi manakala hari penamaan calon pada 22 April.