ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 25 Januari 2021.

1) Majoriti puas hati polisi, perancangan Biden - Kajian

Kajian dilakukan Pew Research menunjukkan 58 peratus rakyat Amerika Syarikat (AS) berpuas hati dengan polisi dan perancangan Presiden Joe Biden untuk negara tersebut manakala 39 peratus berpendapat sebaliknya.

2) Dilahirkan atas perahu semasa banjir, bayi dinamakan Siti Noor Banjiriah

Seorang bayi yang lahir ketika banjir melanda, dinamakan Siti Noor Banjiriah.

Portal berita Tribun News melaporkan, ibu kepada bayi itu, Ernawati melahirkannya ketika berada di atas bot sewaktu paras air naik dan menenggelamkan beberapa wilayah di Kalimantan Selatan, Indonesia.

3) Jangkitan COVID-19 di Indonesia hampiri angka satu juta

Jangkitan COVID-19 di Indonesia menghampiri angka satu juta kes, selepas merekodkan 9,994 lagi kes baharu, dalam tempoh 24 jam.

Kes positif keseluruhan di republik itu kini 999,256 kes, namun 809,488 pesakit yang dijangkiti virus itu dinyatakan telah sembuh.

4) Amerika Syarikat kembali sertai rundingan global tangani isu perubahan iklim

Amerika Syarikat (AS) akan kembali memainkan peranannya dalam usaha menangani perubahan iklim pada Isnin, dengan menyertai rundingan peringkat tertinggi berkenaan langkah terbaik melindungi penduduk dunia dan ekonomi daripada kesan pemanasan global, lapor Reuters.

5) COVID-19: Thailand akan mulakan program vaksinasi bulan depan

Thailand akan memulakan program vaksinasi virus korona bulan depan dengan 50,000 dos vaksin AstraZeneca untuk golongan berisiko tinggi, lapor Reuters.

6) Wanita hamil antara lima ditembak mati

Lima orang termasuk seorang wanita hamil ditemukan mati ditembak dalam sebuah rumah di Indianapolis, Indiana, Amerika Syarikat.

Kejadian itu berjaya dikesan selepas polis menemukan seorang remaja lelaki dengan kesan luka tembakan pada kira-kira jam empat pagi di sekitar bandar itu.

7) Empat pemain kelab bola sepak Brazil maut nahas pesawat

Empat pemain bola sepak dari kelab Brazil, Palmas meninggal dunia dalam nahas pesawat pada Ahad ketika terbang secara berasingan dari pasukannya selepas sebelum ini disahkan positif COVID-19.

Presiden kelab itu yang turut menaiki penerbangan sama juga meninggal dunia dalam nahas itu setelah pesawat tiba-tiba terhempas di hujung landasan semasa berlepas, lapor Washington Post.

8) Wanita 85 tahun kembali 'ketuk pintu' rumah jagaan selepas 10 hari diisytihar mati akibat COVID-19

Seorang wanita berusia 85 tahun yang sebelum ini dikatakan sudah meninggal dunia akibat COVID-19 mengejutkan ahli keluarga dan sanak saudaranya apabila dia kembali semula ke rumah jagaan orang tua yang didiaminya, lapor Reuters.

9) Sembilan maut akibat ribut Eloise

Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh di bandar Beira, Mozambique selepas ribut Eloise membadai kawasan itu pada Ahad.

10) Undang-undang baharu diperkenalkan, mahkluk mitos Bigfoot kembali diburu!

Kewujudan makhluk mitos menyerupai mawas yang ceritanya disampaikan sejak berdekad-dekad lalu dari mulut ke mulut, terutamanya dalam kalangan pegembara, kini menjadi sasaran penggubal undang-undang di Oklahoma, Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita AP.