ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 19 Januari 2022.

1. Bencana | New Zealand komited hantar bantuan ke Tonga

Menteri Luar New Zealand, Nanaia Mahuta berkata, ketika ini negaranya menghantar bekalan air bersih dan keperluan lain namun abu tebal masih menutupi landasan utama di lapangan terbang sekali gus melambatkan proses mobilisasi bantuan ke negara itu.

2. Pengkritik fesyen Andre Leon Talley meninggal dunia

Wartawan, pengkritik fesyen yang juga pengarang majalah US Vogue, André Leon Talley dilaporkan meninggal dunia pada usia 73 tahun.

3. Indonesia tetapkan harga minyak masak

Kerajaan Indonesia mula melaksanakan dasar satu harga untuk minyak masak bermula tengah malam 19 Januari, kata Menteri Perdagangan Muhammad Lutfi. Harga jualan minyak masak di negara itu ditetapkan pada Rp14,000 (hampir AS$1) seliter.

4. Gurun Sahara diliputi salji, jaluran ais

Tompokan salji terdapat di beberapa tempat di bahagian barat Gurun Sahara di barat laut Algeria, pada Selasa lalu. Lokasi itu yang terletak di luar bandar Ain Sefra iaitu salah satu tempat paling kering di dunia dikejutkan dengan kehadiran salji dan hablur-hablur ais.

5. Satu daripada setiap lima rakyat AS dijangkiti COVID-19

Sejumlah lebih 66,000,000 kes COVID-19 dilaporkan di seluruh AS pada Selasa, iaitu kira-kira satu perlima daripada populasi AS.

6. Lelaki tertua di dunia meninggal pada usia 112 tahun

Lelaki tertua di dunia Saturnino de la Fuente dilapor meninggal dunia di rumahnya di Leon, Sepanyol pada Selasa. Menurut laporan Guinness World Records, de la Fuentue berusia 112 tahun dan 341 hari ketika mendiang menghembuskan nafas terakhir.

7. PM UK mungkin berdepan undi tidak percaya

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mungkin berdepan undi tidak percaya susulan pendedahan beberapa majlis keramaian yang diadakan di kediaman rasminya semasa perintah sekatan COVID-19.

8. Lelongan vila dengan mural Caravaggio gagal tarik minat pembeli

Sebuah vila di tengah Rom yang mengandungi satu-satunya mural di bahagian siling oleh artis gaya Baroque Itali, Caravaggio gagal menarik minat pembeli semasa lelongan dalam talian diadakan pada Selasa.

9. Empat sekeluarga nyaris maut diserang gajah naik minyak

Seekor gajah yang bersaiz besar dan sedang marah bertindak menolak sebuah kenderaan yang dinaiki empat beranak sehingga terbalik di Taman Wetland iSimangaliso, wilayah KwaZulu-Natal, Afrika Selatan baru-baru ini.

10. Ketika ekonomi digital melonjak, jenayah siber turut meningkat

Secara puratanya terdapat 270 serangan siber bagi setiap organisasi sepanjang 2021, peningkatan sebanyak 31 peratus berbanding 2020, dengan setiap kejayaan pelanggaran siber menyebabkan syarikat menanggung kos AS$3.6 juta (RM15,060,600 juta).