KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berkaitan dakwaan penculikan dan penjualan organ kanak-kanak di negara jiran seperti yang tular di beberapa platform media sosial.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner Skandaguru Anandan, mesej palsu tersebut telah tular sejak tahun 2017 dan kembali diulang siar di media sosial baru-baru ini.

"PDRM telah mengesan sebaran mesej meminta masyarakat berwaspada berkaitan kejadian penculikan melibatkan sekumpulan kanak-kanak yang diberi bahan terlarang sehingga tidak mampu bercakap dan dibawa menaiki lori ayam bagi tujuan pemindahan organ di negara jiran.

"Dalam mesej tersebut juga menyatakan pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan ke atas lori berkenaan dan menjumpai enam kanak-kanak dimana tiga daripada mereka tidak boleh bercakap kerana disuntik dengan ubat kimia dan akan dihantar ke negara jiran untuk dibunuh serta organ dijual," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Skandaguru menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan berita-berita yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.

Tegas beliau, mana-mana individu yang dikesan menyebarkan berita palsu boleh disiasat dan didakwa di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.