Setelah lapan individu diminta tampil memberi keterangan sejak tiga hari lepas, 14 lagi akan dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam waktu terdekat setelah ditentusahkan keterlibatan mereka untuk membantu siasatan ke atas 10 kes penyebaran berita palsu mengenai banjir yang telah melanda beberapa negeri.

Sebelum ini kami telah mengenal pasti tiga kes penyebaran berita palsu, iaitu berita palsu tentang keruntuhan Pusat Pemindahan Sekolah Manek Urai, berita palsu mengenai kerajaan menyembunyikan fakta kematian ramai mangsa banjir, dan berita palsu kematian di Guchil yang dipetik sumber kononnya daripada sebuah stesen berita. Setakat ini, kami telah mengenal pasti sebanyak 10 kes berita palsu yang tersebar dan sedang berusaha menentusahkan individu-individu yang boleh membantu siasatan.

Beberapa individu yang terlibat telah diminta untuk memberi keterangan di pejabat MCMC kelmarin dan semalam. Sebaik sahaja individu-individu ditentusahkan keterlibatan, mereka akan diminta untuk tampil dengan kadar segera, kata Pengerusi MCMC, Dato Mohamed Sharil Tarmizi.

Menurut beliau lagi, jumlah individu yang akan dipanggil berkemungkinan akan bertambah kerana siasatan sedang giat dijalankan oleh MCMC.

Jangan berkongsi berita dalam keadaan beremosi kerana ianya hanya akan memburukkan keadaan. Periksa dahulu kesahihan berita tersebut sebelum berkongsi dan memaparkannya dalam aplikasi pesanan dan media sosial, tambah beliau.

Orang ramai dinasihat untuk berhenti menyebarkan 'berita' berikut yang sedang dalam siasatan:

1. Sepuluh orang sekeluarga terperangkap dalam rumah mati lemas di Guchil, Kelantan yang dipetik sumber kononnya daripada sebuah stesen berita.
2. Keruntuhan pusat pemindahan Sekolah Manek Urai.
3. Kerajaan menyembunyikan fakta ramai orang mati lemas kerana banjir.
4. Pintu empangan di Selatan Thailand dibuka dan menyebabkan banjir di Kelantan.
5. Bantuan daripada NGO untuk mangsa banjir tak sampai.
6. Mayat kanak-kanak dikeluarkan daripada lumpur yang dikatakan mangsa banjir di Kelantan.
7. Helikopter TUDM terpaksa disewa untuk keluar pesakit dari Hospital Kuala Krai.
8. Seorang wanita terjun dari sekolah ke dalam air.
9. Bantuan disekat oleh pihak berkuasa.
10. Bantuan diterima oleh orang BN sahaja.