KUALA LUMPUR: Polis membuka sebanyak 307 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19 dari tempoh Mac 2020 hingga sekarang.

Daripada jumlah itu, 163 daripadanya sudah diselesaikan, 37 kes dituduh di mahkamah manakala 114 kes masih dalam siasatan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, kebanyakan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

"Secara umum, penyebaran berita palsu berkaitan vaksin dan COVID-19 banyak berkurangan berbanding peringkat awal pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

"Ini hasil daripada tahap kesedaran dan penerimaan masyarakat terhadap PICK, sekali gus menyaksikan penyebaran kandungan berita palsu tidak lagi berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Azizah Mohd Dun (BN-Beaufort) mengenai tindakan kerajaan dalam mengenal pasti pendekatan punitif memandangkan penularan berita palsu berkaitan COVID-19 dan vaksin masih lagi berleluasa.

307 kertas siasatan dibuka berkaitan berita palsu

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu menjelaskan, berdasarkan angka semasa, kebanyakan kes sudah diselesaikan.

Namun begitu, beliau tidak menafikan masih ada penularan berita palsu berkaitan COVID-19 dan vaksin dalam negara ini.

Bagi menangani isu itu secara tuntas, katanya, sebuah pasukan respons pantas yang dianggotai pegawai-pegawai berkemahiran daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diwujudkan.

Ikuti semua kandungan ini di laman mikro Sisi TV Parlimen serta di semua platform media sosial Astro AWANI sepanjang sidang Parlimen ini berlangsung.