Berita palsu: Perlukan kesedaran sivik selain undang-undang - Saifuddin

Raja Hisyam Raja Zaid
Julai 22, 2021 08:54 MYT
SAIFUDDIN: Sebaran berita palsu yang perlu ditangani oleh kesedaran sivik selain undang-undang sedia ada. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dalam menerima sebarang berita atau informasi palsu yang akan memberi kesan buruk.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kesilapan fakta yang dikongsikan boleh mengancam kestabilan dan keselamatan negara yang juga mengganggu gugat perpaduan kaum yang dinikmati hari ini.
Lebih dari itu menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya menambah bebanan perasaan masyarakat yang sedia terbeban ketika berhadapan situasi wabak ketika ini.
“Penyebaran ini membabitkan maklumat mengenai pandemik COVID-19, vaksinasi, kesihatan, Proklamasi Darurat, Institusi Diraja, sosial, politik termasuk Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Ketika berhadapan episod pandemik COVID-19, wujud pula lambakan berita palsu tersebar di media sosial. Banyak fakta salah dan sengaja disebarkan terutama mengenai vaksin hingga mencetuskan keraguan, kebimbangan serta salah faham masyarakat,” katanya dalam sidang media secara maya pada Khamis.
KKMM jelasnya, sentiasa memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk penafian terhadap berita palsu yang disebarkan.
Bagaimanapun katanya, kesedaran orang ramai adalah amat penting dan tindakan undang-undang semata-mata tidak menyelesaikan masalah tersebut.
Mengambil contoh apa yang berlaku ketika negara dilanda pandemik COVID-19 katanya, penyebaran maklumat yang tidak benar telah meningkatkan kebimbangan dan ketakutan dalam kalangan orang ramai sehingga boleh memberi tekanan dan gangguan emosi.
“Ketika pihak berkuasa terutama barisan hadapan bertungkus-lumus mencegah dan menangani kes pandemik, wujud pula maklumat boleh mencemaskan serta menyebabkan tekanan emosi.
“Hampir setiap minit kita menerima terlalu banyak maklumat berkaitan COVID-19, tetapi tidak pasti kebenaran dan kesahihan berita atau maklumat berkenaan,” jelasnya.
Setiap anggota masyarakat, katanya, mempunyai kewajipan dalam memainkan peranan untuk berganding bahu sekali gus sama-sama membantu petugas barisan hadapan demi memastikan negara mampu keluar daripada wabak pandemik seterusnya mengembalikan kehidupan yang lebih baik seperti sebelumnya.
#Saifuddin Abdullah #media sosial #perpaduan #undang-undang #COVID-19 #pandemik #vaksin #berita palsu #KKMM #petugas barisan hadapan