ANTARA pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat, 4 September 2020.

1) Harga runcit RON97 dan RON95 turun, diesel tidak berubah

Harga runcit petrol RON97 dan RON95 turun sebanyak 1 sen seliter manakala harga diesel pula tidak berubah berkuat kuasa 5 September hingga 11 September ini.

2) Isu kuarantin: Khairuddin nafi ke Belanda, beri amaran saman pemfitnah

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali menafikan dakwaan singgah di Belanda ketika kunjungan ke Turki semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

3) Osman Sapian masih ahli Bersatu - Setiausaha Agung

Bekas Menteri Besar Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Osman Sapian masih kekal sebagai ahli Bersatu, kata Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin.

4) Petronas catat kerugian bersih RM21 bilion pada suku kedua 2020, tiada pemberhentian pekerja

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengumumkan kerugian selepas cukai RM21 bilion untuk suku kedua 2020 (2Q2020), berbanding keuntungan bersih RM14.7 bilion tempoh sama tahun lalu.

5) COVID-19: Kluster baharu dikenal pasti, dua pegawai imigresen antara dijangkiti

Satu lagi kluster baharu COVID-19 dikenal pasti di Semenyih, Selangor dan Negeri Sembilan membabitkan tiga individu yang dikesan positif, setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster dikenali sebagai Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Semenyih 2 itu membabitkan dua pegawai Imigresen dan seorang bukan warganegara.

6) Dakwa Veveonah menipu: Pemimpin kerajaan tidak boleh kelihatan sombong - ILHAM Centre

Pemimpin kerajaan Pakatan Nasional (PN) perlu berhati hati mengeluarkan kenyataan agar tidak memberi persepsi kurang baik terhadap kerajaan seperti yang berlaku dalam kes dakwaan terhadap Veveonah Mosibin.

7) Kilang disyaki jadi punca pencemaran Sungai Selangor disita, dikompaun

Sebuah kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihenti tugas sejak semalam disita dan dikompaun serta-merta selain akan dikenakan tindakan lebih tegas, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

8) Operasi Air Selangor: Gangguan bekalan air dijangka lebih lama

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) masih belum pasti bila status henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dapat kembali beroperasi.

9) PRN Sabah: Pembahagian kerusi BN, PN hampir selesai - Annuar Musa

Pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) serta sekutu mereka untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sudah hampir 95 peratus siap dan akan diumumkan Selasa ini.

10) Goldman Sachs bebas tuduhan urus niaga bon 1MDB

Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia daripada pertuduhan berkaitan kes terbitan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai US$6.5 bilion (RM27.2 billion).