ANTARA pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Ahad, 6 September 2020.

1) 'Dulu saya dikatakan tidak siuman, tapi...' Selepas bertuala ketika krisis air 2016, Jamal bertuala lagi!

Ketika krisis air Selangor berlaku pada Disember 2016, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos pernah membuat kejutan apabila tampil dengan hanya bertuala, membawa gayung, sabun dan berus gigi di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor.

Selepas beberapa tahun menyepi, nampaknya beliau muncul dengan 'kejutan' baharu, namun bezanya beliau cuma memuat naik video dengan gaya hampir sama menerusi Facebooknya.

2) Isteri MB Selangor minta maaf, lori Air Selangor bukan untuk kolam renang

Isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad pada Ahad tampil memohon maaf secara terbuka selepas tindakannya memuat naik beberapa keping gambar di media sosialnya berhubung isu air menimbulkan pelbagai reaksi negatif banyak pihak.

3) Selangor rangka langkah jangka panjang selesai isu air

Kerajaan Negeri Selangor menerusi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) komited merangka beberapa langkah jangka masa panjang bagi menyelesaikan isu air di negeri itu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rancangan itu akan dilaksanakan merangkumi penyitaan premis yang disyaki menyebabkan punca insiden pencemaran air, arahan pengosongan premis serta-merta dan pemindaan undang-undang yang bakal membawa hukuman lebih keras.

4) Gangguan air: 811 kawasan pulih sepenuhnya, 481 masih dalam proses pemulihan

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan sehingga jam 6.30 petang pada Ahad, sebanyak 811 kawasan yang mengalami masalah air telah pulih sepenuhnya.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Elina Baseri menerusi satu kenyataan media hari ini berkata, sebanyak 481 kawasan pula masih lagi dalam proses pemulihan.

5) 'Pulau Khurafat' tidak lagi seperti dulu: Mahu cari 'sesuatu'? Carilah keseronokan berekreasi saja!

Memang tidak dinafikan, apabila sebut sahaja Pulau Besar, Melaka, pasti ada yang membangkitkan perkara-perkara mitos dan mistik yang berlingkar sekitar pulau itu.

Benar, Pulau Besar sebelum ini pernah digelar dengan bermacam-macam gelaran termasuk 'Pulau Keramat' dan 'Pulau Syirik' oleh sesetengah orang kerana aktiviti pemujaan dan khurafat yang dilakukan mereka yang terlalu taksub dengan sesuatu kepercayaan.

6) Tiga 'minah rempit' lumba haram ditahan polis

Aksi tiga wanita yang memandu motosikal secara berbahaya dan berlumba haram di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) Butterworth membawa padah apabila mereka ditahan polis pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ketiga-tiga wanita berusia antara 21 hingga 32 tahun itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang diadakan polis daerah Seberang Perai Utara.

7) 131 ditahan ingkar PKP

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 131 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 112 individu dikompaun, 17 direman manakala dua lagi individu dijamin.

8) COVID-19: Enam kes baharu, tiga kes penularan tempatan

Kes positif COVID-19 kekal satu angka dengan enam kes baharu dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari, Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu tiga kes dilaporkan mendapat jangkitan dalam negara manakala tiga lagi adalah kes import.

9) Kerugian Petronas tidak jejas pembangunan negara

Kerugian yang dicatatkan Petronas pada suku kedua tidak akan menjejaskan dan memberi impak kepada pembangunan negara. Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata perbelanjaan terutama untuk pembangunan negara sedang dilaksanakan.

10) Allahyarham Zulkifli Zain seniman berprinsip - Eman Manan

Jenazah pelakon veteran Datuk Zulkifli Zain selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di sini hari ini.

Terdahulu, jenazah disolatkan di Masjid Ukay Perdana sejurus tiba di tanah perkuburan itu pada kira-kira 12 tengah hari.