ANTARA pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Rabu, 28 Oktober 2020.

1) Kerajaan lulus pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim

Kerajaan Persekutuan sekali lagi meluluskan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) selepas kajian mendapati Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dijangka tidak mampu menampung pertambahan penumpang pada masa hadapan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata LTAPP ketika ini hanya memiliki landasan tunggal yang mampu menampung kapasiti maksimum 12 juta penumpang setahun.


2) Ini kisah pejuang kanser payudara tahap tiga

Bukan mudah untuk mana-mana wanita menerima hakikat apabila disahkan menghidap kanser payudara.

Namun, penyakit yang juga musuh nombor satu wanita itu tidak seharusnya mematahkan harapan untuk para pejuang melawan penyakit tersebut.


3) Lompat pagar SPRM: Alvin Goh cerita mengapa dia larikan diri

Alvin Goh, suspek sindiket Macau Scam dan judi dalam talian yang melarikan diri dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, menafikan sebarang penglibatan dalam kegiatan jenayah seperti yang disyaki terhadapnya.

Penafian itu dibuat Alvin, atau Goh Leong Yeong, menerusi satu video berdurasi 8 minit 39 saat yang dipercayai dimuat naik rakannya sebelum ia ditularkan di media sosial.


4) Dua pegawai kanan ATM dituduh terima rasuah berkaitan kontrak PRISMA

Dua pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima suapan bernilai RM25,000 dan RM150,000 berhubung pelantikan syarikat secara rundingan terus, berkaitan Perkhidmatan Sengaraan dan Khidmat Sokongan Sistem Peperangan Elektronik (PRISMA).

Kedua tertuduh, Kolonel Che Ahmad Idris, 54, dan Brigadier Jeneral Mohamed Feizol Anuar Ayob, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali.


5) Polis terima laporan pencemaran bau di alur sungai, disyaki sabotaj

Polis menerima laporan mengenai pencemaran bau akibat tumpahan minyak di alur sungai dekat Jalan KB1/10 di Kampung Baru Balakong, Kajang.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, laporan dibuat seorang pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, pada Selasa.


6) Cikgu Sam tersenarai 10 finalis terbaik Hadiah Guru Global 2020

Guru Adiwira, Samuel Isaiah, tersenarai dalam 10 finalis terbaik bagi menerima anugerah Hadiah Guru Global 2020.

Beliau yang sebelum ini tular kerana kegigihannya membawa perubahan dalam pengajaran Bahasa Inggeris kepada murid Orang Asli di sekolahnya di Pahang, turut tersenarai bersama sembilan lagi guru dari seluruh dunia.


7) Tiga lagi kawasan dikenakan PKPD di Sabah - Ismail Sabri

Kerajaan mengumumkan pelaksanaaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pengaraban, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Landung Ayang di Kudat bermula 30 Oktober sehingga 12 November depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD bagi ketiga-tiga lokaliti berkenaan merangkumi sebanyak 2,393 unit rumah yang melibatkan seramai 13,884 penduduk.


8) Ayuh kita buang ego, duduk semeja demi rakyat - Nazri Aziz

Semua ahli parlimen perlu mengetepikan ego masing-masing dan duduk semeja demi rakyat, kata Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Nazri berkata, semua ahli parlimen perlu membuktikan bahawa mereka benar-benar bekerja untuk rakyat bukan lebih mementingkan jawatan.


9) COVID-19: KKM kenal pasti empat kluster baharu

Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti empat lagi kluster baharu COVID-19 pada Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster tersebut ialah Kluster Seri Gaya, Kluster Greenhill, Kluster Idaman dan Kluster Bayu.


10) COVID-19: Dr Noor Hisham akui tertekan, tak boleh tidur

Perang menentang musuh halimunan bernama COVID-19 yang berlanjutan sejak awal tahun ini nyata memberikan kesan dan tekanan bukan sahaja kepada petugas barisan hadapan, malah kepada warga kerja Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hariannya pada Rabu mendedahkan bahawa beliau turut mengalami kelesuan serta tekanan mental dan fizikal yang amat tinggi.