ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat, 13 November 2020.

1) Lelaki pandu lawan arus di lebuh raya PLUS direman 3 hari

Lelaki yang memandu Perodua Axia melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan tiga buah kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada Rabu direman tiga hari untuk membantu siasatan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan di Mahkamah Majistret Tapah pada Jumaat.

2) COVID-19: 1,304 kes baharu, 96 di ICU, satu kematian direkodkan

Kes positif COVID-19 kembali kepada empat angka dengan sebanyak 1,304 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 sebanyak 45,095 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, terdapat empat kes import dilaporkan melibatkan warganegara yang mendapat jangkitan dari luar negara.

3) Moratorium: Bantuan dikekalkan kepada mereka yang memerlukan, kata Gabenor BNM

Semua yang terjejas akibat pandemik COVID-19 akan menerima bantuan, demikian menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus sambil menafikan salah tanggapan mengenai bantuan bayaran balik pinjaman bersasar.

"Salah tanggapan umum ialah tanpa moratorium menyeluruh, peminjam yang dalam kesusahan tidak akan menerima bantuan (sebaliknya) bantuan itu adalah untuk semua yang terjejas akibat pandemik itu termasuk lanjutan moratorium," katanya.

4) KPD Petaling Jaya jalani kuarantin selepas disahkan kontak rapat tahanan positif COVID-19

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, kini menjalani kuarantin kendiri di rumah selepas disahkan sebagai salah seorang kontak rapat dengan pesakit COVID-19 sewaktu bertugas.

Menerusi maklumat ringkas kepada media, Nik Ezanee memaklumkan beliau kini menjalani kuarantin kendiri sehingga 23 November depan.

5) 19 daripada 400 penduduk yang hilang di PKPD Medan 88 telah serah diri - Polis

Sekurang-kurangnya 19 individu telah menyerah diri selepas didapati tidak pulang ke kediaman mereka ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi yang bermula pada Khamis.

Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

6) Seorang lagi lelaki warga asing didakwa rogol remaja tempatan bawah umur

Seorang lagi lelaki Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan tempatan berumur 15 tahun, bulan lepas.

Mohammad Hassan Mohammad Rafik, 24, pengawal keselamatan, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

7) COVID-19: Pengantin, rombongan mahu ke Pahang boleh dengan syarat...

Setiap bakal pengantin dan rombongan yang datang dari luar Pahang perlu mengemukakan keputusan ujian Antigen Rapid Test Kid (RTK-Ag) COVID-19 yang dibuat dalam tempoh 72 jam sebelum majlis akad nikah berlangsung di negeri ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Dr Zulkifle Ali berkata ujian tersebut boleh dibuat di mana-mana kemudahan kesihatan kerajaan atau swasta yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan termasuk di negeri asal individu terlibat.

8) Kini tiga orang dibenarkan berada dalam satu kenderaan - Ismail Sabri

Selepas mempertimbangkan keluhan daripada banyak pihak, kerajaan bersetuju untuk membenarkan tiga orang daripada satu keluarga berada dalam sebuah kereta ketika keluar rumah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu sama seperti yang diberikan kepada kenderaan e-hailing dan teksi.

9) Puluhan kilang di sepanjang Sungai Gong, Sungai Selangor. Apa kesudahannya?

SAMPAI bila? Itu persoalan yang sehingga kini masih tiada jawapan.

Insiden pencemaran sungai seolah-olah tiada noktah, ditambah pula situasi hari ini apabila berlaku pembangunan pesat di kawasan hulu sungai.


10) Demi capaian internet, pokok dan kandang kambing jadi tempat belajar

Masalah capaian internet yang lemah bukan sahaja menjadi masalah utama dalam kalangan pelajar-pelajar di kawasan pedalaman Sabah seperti yang tular beberapa bulan lalu.

Malah di Kampung Tembak B, Baling, Kedah, sekumpulan mahasiswa dari beberapa universiti awam dan swasta turut mengalami masalah sama khususnya dalam melaksanakan sesi pembelajaran secara atas talian.