ANTARA pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Rabu 23 Disember 2020.

1) Langkawi sibuk terima pelancong, feri tambahan disediakan penuhi permintaan mendadak

Selepas kerajaan memberikan kelonggaran merentas negeri, jumlah pelancong ke Pulau Langkawi terus meningkat khususnya yang menggunakan perkhidmatan feri.

2) Vaksin AstraZeneca bakal diterima pertengahan pertama 2021

Penghantaran pertama vaksin COVID-19 buatan AstraZeneca dijangka bermula pada pertengahan pertama 2021.

Kerajaan Malaysia dan syarikat farmaseutikal itu telah memeterai perjanjian untuk membekalkan 6.4 juta dos vaksin buat rakyat Malaysia.

3) Dividen ASN 2.02 sen

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan dana harga berubah pertamanya Amanah Saham Nasional (ASN) sebanyak 2.02 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

4) Varian baharu COVID-19 di UK: Pfizer perlukan enam minggu jalankan ujian - Khairy

Syarikat pengeluar vaksin Pfizer dari Amerika Syarikat sedang menjalankan ujian terhadap varian terbaharu virus COVID-19 yang melanda United Kingdom ketika ini.

5) Polis trafik pandu lawan arus, di bawah pengaruh alkohol ditahan

Seorang anggota polis trafik ditahan kerana memandu secara berbahaya dengan melawan arus selain disyaki berada di bawah pengaruh alkohol dalam kejadian pada 12.30 tengah malam Rabu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata ia susulan pihaknya menerima satu rakaman video berkaitan sebuah kereta yang dipandu secara berbahaya menyongsang arus di Jalan Lingkaran Dalam di sini.

6) Pengguna boleh kemuka tuntutan terhadap pembekal khidmat telekomunikasi

Pengguna boleh mengemukakan tuntutan terhadap pembekal perkhidmatan telekomunikasi sekiranya terdapat kemungkiran atau ketidakpuasan terhadap perkhidmatan yang dijanjikan.

7) Rebat 2 sen/kWh bagi setiap pengguna elektrik pada 2021 - Shamsul Anuar

Pengguna domestik dan industri akan menikmati rebat elektrik sebanyak dua sen/kWh bermula 1 Jan hingga 30 Jun 2021, demikian diumumkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

8) KPDNHEP siasat isu kartel daging di bawah dua kesalahan cap dagangan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menyiasat syarikat tempatan yang disyaki terlibat dalam isu kartel daging haram di bawah dua kesalahan cap dagangan.

9) Kos haji: Kerajaan cari jalan tidak beban jemaah - Dr Zulkifli

Kerajaan akan mencari jalan untuk tidak membebankan jemaah haji terutama golongan yang memerlukan sekiranya terdapat pertambahan kos bagi ibadat haji untuk musim haji tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata masih terlalu awal untuk menganggarkan perincian jumlah peningkatan kos, namun pihaknya akan meneliti perkara tersebut.

10) Vaksin COVID-19: Hukum pengambilan harus, wajib diambil golongan ditetapkan kerajaan

Hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Perkara itu diputuskan oleh Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember lalu.