ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 29 September 2021.

1. Ahmad Maslan bebas tuduhan gagal isytihar RM2 juta, beri kenyataan palsu

Ahli Parlimen Pontian dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib kepada LHDN dan memberi penyataan palsu kepada SPRM selepas membayar kompaun RM1.1 juta.

2. COVID-19: 140,608 hilang kerja, 203,102 berjaya dapat kerja

Sejumlah 140,608 individu dilaporkan hilang kerja sejak Mac 2020 sehingga 20 Ogos lalu, iaitu ketika tempoh negara dilanda wabak COVID-19, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

3. Parlimen: Negara kekurangan guru agama - KPM

Setakat 30 Ogos lalu, hanya terdapat 16,024 guru agama yang berkhidmat di sekolah menengah berbanding 40,713 guru agama di sekolah rendah, kata Timbalan Menteri Datuk Mohamad Alamin.

4. Jangan tutup siasatan kes Muhammad Adib walau sementara - PPMM

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia menzahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Datuk Zuraida Kamaruddin yang memaklumkan bahawa kes kematian anggota bomba itu ditutup sementara.

5. Segera wujudkan mahkamah jenayah seksual kanak-kanak di semua negeri - Azalina

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu pernah dicadangkan ketika beliau menjadi menteri, namun sehingga hari ini masih tidak dilaksanakan.

6. COVID-19: 12,434 kes baharu dilaporkan di seluruh negara hari ini

Jumlah jangkitan baharu COVID-19 yang direkodkan di seluruh negara hari ini ialah sebanyak 12,434 kes.
Ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif bagi kes berkenaan sebanyak 2,232,960

7. AS$6.94 juta hilang: Jabatan Peguam Negara terima kertas siasatan SPRM

Jabatan Peguam Negara mengesahkan menerima kertas siasatan berkait kehilangan wang berjumlah AS$6.94 juta daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

8. Boleh pergi stadium, pusat rekreasi antara kelonggaran baharu - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa kelonggaran kepada individu-individu yang telah lengkap divaksin termasuk membenarkan kehadiran penonton atau penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4.

9. "Mana komputer riba pelajar B40?" - MP Kulai 'naik angin'

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching hari ini meluahkan rasa kecewa dan marah beliau di Dewan Rakyat susulan kegagalan kerajaan menyerahkan sejumlah besar komputer riba kepada pelajar-pelajar dalam kategori B40.

10. Pemandu mabuk sebabkan kematian pekerja Alam Flora dihukum denda, bon berkelakuan baik

Seorang peraih ikan hari ini dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana memandu dalam keadaan mabuk dan melawan arus sejauh tujuh kilometer sehingga menyebabkan kematian seorang kakitangan Alam Flora.