ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 14 Disember 2021.

1. [LAPOR LANGSUNG] Undi awal PRN Sarawak berlangsung hari ini 

Pengundian awal PRN Sarawak ke-12 bermula 7.30 pagi ini, melibatkan 12,585 anggota dan pegawai tentera serta pasangan, dan 10,458 anggota serta pegawai polis dan pasangan.

2. Mahkamah Tinggi arah KDN daftar MUDA dalam tempoh 14 hari

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Kementerian Dalam Negeri  mendaftarkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia dalam masa 14 hari serta membayar kos guaman sebanyak RM10,000.

3. Kerajaan lulus pendaftaran bersyarat Ronapreve bagi pesakit COVID-19

Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-367 yang bersidang semalam bersetuju meluluskan pendaftaran secara bersyarat bagi rawatan antibodi Ronapreve untuk pesakit COVID-19. 

4. Peter Anthony diperintah bela diri tuduhan palsukan surat pejabat UMS

Mahkamah Sesyen KL hari ini memerintahkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah membela diri atas pertuduhan memalsukan surat pejabat TNC UMS berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal di universiti itu pada 2014.

5. COVID-19: 4,097 kes baharu, 29 kematian

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat semalam, 29 lagi kematian baharu dilaporkan dengan angka kumulatifnya 30,908.

6. Kes buli MRSM Kuala Kangsar: 10 pelajar ditamatkan pengajian - KP Mara

Jawatankuasa Disiplin Bahagian Pendidikan Menengah Mara menamatkan pengajian 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli yang tular baru-baru ini.

7. Warganegara Singapura boleh ke Malaysia melalui VTL-darat mulai 20 Disember

Semua kategori pengembara warganegara serta pemastautin tetap Malaysia, Singapura layak menggunakan laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL)-darat, berkuat kuasa mulai 20 Disember 2021.

8. Rosmah gagal mohon hakim tarik diri dengar perbicaraan kes pengubahan wang haram

Kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Datin Seri Rosmah Mansor akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes rasuahnya berkaitan projek tenaga solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

9. RUU Pindaan Akta 342: Lima peruntukan baharu, lima pindaan dicadangkan KKM

Menurut Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Datuk Dr Norhayati Rusli, ia merangkumi 10 Seksyen di bawah Akta 342 yang akan ditambah baik bagi memastikan kesinambungan pengawalan dan pencegahan COVID-19 di negara ini.

10. MA63: Lebih 2/3 Ahli Dewan Rakyat luluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkait Perjanjian Malaysia 1963 selepas lebih dua pertiga ahli menyokong pindaan itu.