ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 29 April 2022.

1. Rangka pelan penyelesaian tangani isu rumah - PM

Majlis Perumahan Mampu Milik Negara dipertanggungjawabkan merangka pelan penyelesaian kepada isu pembelian dan pemilihan rumah susulan peningkatan kos binaan mendadak akibat konflik Rusia-Ukraine.

2. Kuari runtuh: Lengkapkan kertas siasatan, isytihar kematian - Ketua Polis Perak

Polis Perak akan melengkapkan siasatan berhubung kes runtuhan batu kuari di sini dengan segera, bagi membolehkan dua mangsa yang masih tertimbus diisytiharkan sebagai meninggal dunia. 

3. Bincang dengan kepimpinan BN, tambah kerusi boleh menang di Perak - Presiden MIC

MIC akan berbincang dengan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional berhubung penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri Perak kepada parti itu, yang berpotensi tinggi untuk menang pada PRU15 kelak.

4. Polis edar gambar dan senarai nama 61 etnik Rohingya masih bebas

Polis Kedah akan mengedar gambar dan senarai nama 61 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Sungai Bakap dalam masa terdekat.

5. Polis bebas 13 pelajar selepas keterangan diambil

Polis membebaskan 13 pelajar selepas keterangan kesemua mereka direkodkan bagi membantu siasatan kes membelasah seorang pelajar sekolah menengah di sini.

6. Kes dera dua beradik: Polis tahan ibu kandung dan bapa tiri

Polis menahan satu pasangan suami isteri yang disyaki terlibat mendera dua beradik di Jalan Sungai Petani, dekat sini, semalam.

7. Jasad Nagaenthran yang dihukum gantung di Singapura selamat disemadikan

Jasad Nagaenthran Dharmalingam yang menjalani hukuman mati di Penjara Changi di Singapura pada Rabu disemadikan dengan cara dibakar di Krematorium Buntong, di sini, Jumaat.

8. PasLeak: Imej Pas tidak terjejas - Abdul Hadi

Pas yakin isu penyebaran dokumen 'PasLeaks' tidak akan menjejaskan imej parti tersebut, kata Presiden parti Tan Sri Abdul Hadi Awang.

9. Kes mingguan HFMD di Selangor melebihi paras amaran

Bilangan kes mingguan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Selangor kini telah melebihi paras amaran, kata Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

10. Balik kampung: Awas, jangan potong barisan! Ini amaran PDRM

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, pihaknya memandang serius tindakan terbabit yang boleh mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang lebih teruk.