ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 23 November 2022.

1. Pasca PRU15: Lebih 26,000 tandatangan petisyen, gesa MP Sarawak tolak kerjasama dengan PN, Pas

Lebih 26,000 pengguna media sosial di Sarawak telah menandatangani petisyen menggesa Ahli Parlimen Sarawak penganut agama Kristian menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional atau Pas.

2. Pasca PRU15: BN diwakili tiga pemimpin, GPS selesai menghadap Agong

Tiga pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) dan wakil pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat meninggalkan Istana Negara selepas hampir 40 minit menghadap Yang di-Pertuan Agong.

3. Pasca PRU15: Polis nafi kekecohan ahli UMNO di Lenggong, buka kertas siasatan

Polis Perak menafikan kononnya berlaku kekecohan di hadapan pejabat UMNO yang dikaitkan dengan penggabungan antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan membentuk kerajaan negeri.

4. Pasca PRU15: Surat didakwa daripada Zahid kepada YDP Agong tular

Tular di media sosial pada Rabu, surat yang didakwa dari Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyatakan sokongan 30 ahli Parlimen gabungan tersebut kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

5. 1MDB: Zeti Akhtar dijangka hadir sebagai saksi

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dijangka hadir sebagai saksi pendakwaan bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini, akan datang.

6. Pasca PRU15: Pemimpin BN, PN selesai adakan pertemuan tertutup di St Regis

Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) difahamkan baharu sahaja selesai mengadakan pertemuan tertutup di Hotel St Regis, di sini.

7. Nad Zainal kritikal di ICU, rakan artis ajak peminat berdoa, anjur bacaan Yasin

Di laman-laman media sosial hari ini, sejumlah artis tempatan bersolidariti dan mengajak seluruh peminat hiburan untuk sama-sama mendoakan pelakon Nad Zainal yang kini dilaporkan sedang kritikal di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di Ampang, Selangor.

8. Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu esok - Laporan

Yang di-Pertuan Agong dijangka mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada Khamis, dipercayai berkaitan pembentukan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri ke-10.

9. Pasca PRU15: Tiada agenda pecat Zahid dalam mesyuarat MKT UMNO - Asyraf Wajdi

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menafikan dakwaan yang mengatakan Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam Rabu diadakan bagi membincangkan agenda pemecatan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

10. Tular video beri ceramah berbaur rasis, penceramah Hew Kuan Yew ditahan

Penceramah kontroversi Hew Kuan Yew, atau lebih dikenali sebagai Superman Hew, ditahan awal hari ini selepas video beliau ceramah kontroversinya minggu lalu, tular.