ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 13 Disember 2022.

1. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam ditamatkan perkhidmatan

Kerajaan telah memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkuat kuasa 12 Dis 2022.

2. Agong ke Qatar, tonton Piala Dunia 2022 atas jemputan Sheikh Tamim

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat ke Doha, Qatar bagi mengadakan lawatan khas selama enam hari, bermula hari ini.

3. Bomba dirikan PKH di lokasi kritikal banjir Selangor, percepat misi menyelamat

JBPM Selangor mendirikan tiga pusat kawalan hadapan (PKH) di lokasi kritikal berlakunya banjir, iaitu di Batu 14 dan Sungai Lui, Hulu Langat dan Taman Sri Muda, sebagai langkah bagi mempercepatkan pergerakan operasi menyelamat.

4. Anwar saman MB Kedah berhubung ucapan berbaur fitnah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah 'Jelajah PN Best Tambun'.

5. Shahrir perlu lapor wang RM1 juta yang diterima kepada LHDN - Pegawai LHDN

Seorang pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa, Tan Sri Shahrir Ab Samad sepatutnya melaporkan wang RM1 juta yang diterimanya pada 2013 kepada LHDN.

6. Jho Low 'jual diri' sebagai lepasan Wharton, jumpa pelbagai personaliti

Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, telah dibuang daripada Wharton School, University of Pennsylvania yang merupakan fakulti perniagaan tertua di dunia.

7. "Terima kasih kedua-dua isteriku yang ku sayangi" - Ashraf Muslim

Pelakon Ashraf Muslim memberikan kata-kata penghargaan buat kedua-dua isterinya yang sentiasa membantunya dalam kehidupan.

8.  'Saya baru hari kelima masuk pejabat, tak adil mereka buat andaian' - Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan kenyataan Lawyers for Liberty (LFL) yang kononnya beliau tidak menerima sebarang pandangan dan teguran berhubung isu Depot Tahanan Imigresen Kimanis, Sabah.

9. Tiga bekas menteri duduk sepentas, sokong pimpinan baharu KKM transformasi sektor kesihatan

Tiga bekas Menteri Kesihatan sepakat untuk memberi sokongan kepada kepimpinan baharu kementerian itu bagi mentransformasikan sektor kesihatan negara.

10. Kementerian Komunikasi dan Digital perhalusi isu keselamatan siber, lindungi data peribadi

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menegaskan isu keselamatan siber dan data peribadi perlu diutamakan selain pihaknya sedang meneliti dan merangka jalan penyelesaian segera terhadap isu berkenaan.