ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 9 Februari 2023.

1. Pendekatan 'merakyat' lonjak populariti Anwar di persada antarabangsa - Zambry 

Menteri Luar Datuk Seri Zambry Kadir berkata populariti Anwar jelas terlihat ketika lawatan rasmi Perdana Menteri baru-baru ini ke Indonesia, Brunei dan Singapura iaitu beliau mendapat sambutan meriah dalam kalangan diaspora Malaysia dan juga rakyat tempatan.

2. Perolehan vaksin COVID-19 ikut prosedur - Khairy

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan semua keputusan perolehan vaksin COVID-19 mendapat punca kuasa jemaah menteri dan kelulusan Kementerian Kewangan dan mengambil kira pandangan daripada semua agensi. 

3. Tiada penyelewengan wang zakat MAINS - SPRM

Tiada sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah ditemukan berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat melibatkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan Zakat Sdn Bhd, menurut Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail.

4. Ibu lapor polis guru dorong anak masuk Islam

Polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan seorang guru sebuah sekolah di Cheras yang mendorong seorang pelajarnya memeluk agama Islam, kata Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin.

5. Gempa Turkiye: Saya masih trauma - Pelajar Malaysia

"Walaupun berlaku gegaran kecil, ia menakutkan saya. Saya masih lagi trauma," kata Zahirul Amin Mohamad, 21, mahasiswa Universiti Gaziantep, yang kini berada di bawah jagaan Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Turkiye.

6. Kabinet setuju syarat baharu perjanjian operasi MAHB - Anthony Loke

Dengan persetujuan Kabinet itu yang dicapai pada 2 Feb lepas, perjanjian sama sebelum ini kini terbatal, manakala OA baharu serta Perjanjian Pajakan berkaitan akan ditandatangani dan dimuktamadkan selewat-lewatnya akhir Mac ini.

7. Perbicaraan kes Ebit Lew ditangguh Mei depan

Perbicaraan pendakwah terkenal, Ebit Lew membabitkan kes gangguan seksual yang berlangsung di Mahkamah Majistret Tenom ditangguhkan pada Mei depan.

8. Kes dana 1MDB: Saya tak pernah ragu Jho Low adalah penasihat Najib - Saksi

Joanna Yu Ging Ping, 52, berkata Jho Low memperkenalkan dirinya sebagai penasihat kepada Najib dan pihak atasan pengurusan 1MDB yang lain juga merujuk Jho Low sebagai 'bos'.

9. Lawatan rasmi ke Thailand: Sambutan permaidani merah untuk Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Thailand diberikan sambutan permaidani merah ketika tiba di Government House, di Bangkok petang tadi.

10. Muhyiddin nafi dakwaan pemberian kontrak NIISe kepada menantu

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad.