ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 18 Disember 2023.


1. Pegawai kanan polis Mohd Nazri didakwa bunuh pelajar 17 tahun

Pegawai kanan polis yang terlibat dalam insiden kematian seorang pelajar 17 tahun akibat dilanggar dan diseret kereta di Jalan Taman Jati, Meru, didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin atas tuduhan membunuh.



2. Keluarga pelajar maut dilanggar mula terima kenyataan

Keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, pelajar yang maut akibat dilanggar dan diseret sebuah kereta di Jalan Taman Jati dekat Meru di sini pada Jumaat, mula dapat menerima kehilangannya.


3. Jutawan tudung puas hati tempah gaun bernilai RM250,000

"Saya dah tempah gaun ni sejak setahun lalu," demikian kata-kata pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri mengenai gaun maroonnya yang viral ketika sambutan ulangtahun ke-25 jenama tudungnya.


4. Pemain 'drum' terkenal Lewis Pragasam meninggal dunia kerana serangan jantung

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi peminatnya, Pragasam, 66, meninggal dunia di Hospital Beacon, Petaling Jaya, Selangor, pada 3 pagi.


5. Penyanyi M. Daud Kilau meninggal dunia

Penyanyi legenda Datuk M. Daud Kilau meninggal dunia di Hospital Teluk Intan, Perak kira-kira pukul 4.40 petang, Isnin.


6. Tiada 'double standard' dalam pendakwaan pegawai kanan polis - Timbalan KP Perak

Polis menafikan wujud layanan 'double standard' berhubung kawalan ketat terhadap pegawai kanan polis yang didakwa atas tuduhan membunuh pelajar lelaki tingkatan lima, Jumaat lalu.


7. COVID-19: Kes melonjak ke 20,696, KKM harap dapat kawal peningkatan tanpa perlu PKP

Tiada perancangan untuk memperkenalkan semula sebarang sekatan atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), biarpun terdapat peningkatan jumlah kes COVID-19 baharu yang dicatatkan.


8. Lawatan ke Jepun berjaya, tarik potensi pelaburan RM6.56 bilion - PM Anwar

Lawatan kerja rasmi lima hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun dianggap berjaya apabila nilai potensi pelaburan yang dibawa pulang dianggarkan bernilai RM6.56 bilion.


9. Isu aibkan PM: Polis buka kertas siasatan terhadap Papagomo

Polis mengesahkan membuka kertas siasatan ke atas Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo berhubung satu video yang dimuat naik menerusi YouTube dengan hantaran yang mengaibkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


10. MCMC ingatkan orang ramai tidak sebar gambar, kandungan pelajar maut dilanggar

MCMC dalam kenyataan malam ini memaklumkan tindakan undang-undang boleh dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan menekankan tentang kepentingan untuk menghormati mangsa dan keluarga, serta pada masa sama menunjukkan empati yang tinggi.