Berpesta air waktu PKP, 41 warga Myanmar didenda RM1,000

Hilmi Malik
April 20, 2020 10:33 MYT
Seramai 41 lelaki warga Myanmar yang terbabit dengan pesta air di Bandar Baru Salak Tinggi baru-baru ini, didenda maksimum RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini. - Foto BERNAMA
Gara-gara asyik berpesta air ketika tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dijalankan, seramai 41 lelaki warga Myanmar dijatuhi hukuman denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Sepang pada Isnin.
Majistret, A Akhiruddin @ Boy Acho menjatuhkan hukuman tersebut selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah selain turut diperintahkan agar dipenjara sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang merupakan pekerja kilang berusia lingkungan 19 hingga 34 tahun itu berhimpun melakukan aktiviti itu pada 12 April lalu di asrama lelaki sebuah kilang sekitar jam 8.30 hingga 10 malam.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Faraheen Yahya memohon agar kesemua tertuduh dijatuhkan hukuman penjara disebabkan kesalahan dilakukan sewaktu tempoh PKP sedang berjalan dan perbuatan berkenaan seakan mencabar undang-undang negara.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili kesemua tertuduh memohon agar mereka dikenakan hukuman denda atas alasan kesemua tertuduh merupakan pekerja asing yang sah berasal dari keluarga yang susah.
Baru-baru ini, aktiviti tersebut tular di media sosial menyaksikan kumpulan itu berhimpun sedang asyik berpesta air di Kawasan Bandar Salak Tinggi sehingga mendapat kecaman daripada netizen.
#coronavirus #COVID19 #Mahkamah Majistret #Myanmar #PDRM #pekerja asing #PKP #Sepang