Penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat tidak akan memecahbelahkan perpaduan orang Melayu, sebaliknya akan memberi kesan kepada parti pembangkang.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membayangkan penubuhan parti baharu itu akan menyebabkan pembangkang berpecah belah, selain menyebabkan berlakunya perebutan anggota terutama membabitkan orang Melayu.

"Ia membuktikan parti pembangkang tidak sepakat dalam perjuangan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pasir Puteh di sini, pada Jumaat.

Selasa lepas, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan permohonan bagi mendaftarkan parti baharu itu di pejabat Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) di Putrajaya.

Susulan itu, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang dipecat dari UMNO sebelum ini, dilaporkan berkata parti baharu itu berhasrat mengambil alih peranan dan perjuangan UMNO.

Perjuangan parti terbesar Melayu itu didakwanya semakin menyimpang daripada perjuangan asal, dan memperjuangkan kebajikan rakyat dan Bumiputera.

Mohd Puad yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) mendakwa penubuhan parti itu juga menunjukkan pimpinan pembangkang tidak menghormati Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu di ALOR SETAR, Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata penubuhan Pribumi menunjukkan ia ditubuhkan untuk kepentingan pihak tertentu dan diyakini tidak mampu mengambil alih peranan UMNO yang telah berjuang cemerlang selama 70 tahun.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mendakwa parti baharu itu yang dipimpin oleh individu-individu yang bermotifkan kepentingan peribadi semata-mata, ditubuhkan selepas sedar bahawa mereka tiada peluang memegang jawatan tertinggi dalam UMNO.

"Mereka cuba yakinkan rakyat untuk turut sama dalam Pribumi, namun rakyat sudah sedar akan percaturan mereka. Parti baru ini juga dilihat tiada perjuangan untuk membela nasib agama, bangsa dan negara," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kuala Kedah di sini.

Hamzah juga mengingatkan anggota UMNO yang mempunyai pendirian atas pagar supaya kembali dan memberi kepercayaan penuh semula kepada UMNO dan jangan terpengaruh dengan kenyataan Mukhriz bahawa Bersatu berazam mengambil alih peranan dan perjuangan UMNO.

"Tak payah berdiri atas pagar...kembali kepada UMNO supaya kita dapat sama-sama memperjuangkan parti ini. Bagi yang menyokong Pribumi secara senyap kita andaikan mereka ini masih belum memahami tujuan sebenar penubuhan parti baru itu yang cuba untuk menjatuhkan UMNO," katanya.

Di KANGAR, Pergerakan Wanita UMNO Negeri Perlis hari ini sebulat suara menyatakan pendirian menolak kewujudan parti Bersatu.

Ketuanya, Rela Ahmad berkata semangat para Wanita UMNO negeri ini tidak akan luntur, malah terus setia dengan kepimpinan UMNO walaupun ada pihak yang pasti cuba mempengaruhi agar mereka menyertai parti serpihan berkenaan.

Rela yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri berkata, kewujudan Bersatu itu disifatkan sebagai cabaran kecil yang sedang menguji parti, memandangkan UMNO pernah menghadapi rintangan lebih hebat ketika Semangat 46 ditubuhkan dahulu.

"Pada masa itu terdapat pemimpin-pemimpin UMNO peringkat negeri dan persekutuan yang berasal dari Perlis memilih menyertai Semangat 46 dan menjadi orang kuat dalam parti serpihan UMNO itu," katanya.

"Tetapi para Wanita negeri kekal berjuang bersama anggota-anggota UMNO lain bagi mempertahankan parti sehingga UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal memerintah di Perlis," katanya kepada Bernama di sini.

Di KUALA KRAI, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Razali Ibrahim berkata Bersatu tidak memberikan kesan kepada UMNO di Johor walaupun ia diketuai bekas pemimpin UMNO dari negeri itu.

"Rakyat Johor sentiasa menyokong UMNO kerana mereka tahu parti pembela (bangsa) Melayu ini ditubuhkan di negeri mereka. Hatta di Parlimen Pagoh sendiri saya yakin UMNO di kawasan berkenaan tetap utuh.

Saya tidak nampak kesan yang besar, jika ada (kesan) ia (mungkin) sedikit sahaja. Kami yakin orang-orang Johor setia pada parti dan terus menjadi anggota UMNO," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri, Wanita dan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Krai di sini.