Bekas Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Datuk Seri Lajim Ukim memberi jaminan kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Sabah tidak akan menjadi UMNO 2.0 susulan kemasukan bekas wakil rakyat itu ke parti berkenaan.

Beliau berpendapat, sudah tentu terdapat keinsafan dan kekhilafan dalam kalangan bekas pemimpin UMNO yang ada sekarang, lalu mereka kembali ke laluan betul untuk perjuangan demi rakyat.

Jelasnya, inspirasi daripada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk merealisasikan impian menghindarkan rasuah, tidak menyalahgunakan kuasa dan mempraktikkan budaya menegur, sudah kembali tegar dalam kerajaan baharu yang mampu mengubah persepsi demikian.

"Jadi sekarang ini Tun Mahathir cuba membetulkan tinggalkan sikap itu supaya kembali kepada perjuangan untuk kepentingan rakyat hindarkan rasuah, jangan salah guna kuasa dan sebagainya.

"Ini sesuatu yang bukan mudah untuk dilaksanakan oleh kerajaan yang ada sekarang tetapi saya fikir Tun berupaya sekurang-kurangnya mengurangkan kes rasuah, tangkapan di mana-mana malahan mungkin setiap hari ada tangkapan SPRM, kalau dulunya setahun kita jarang sekali mendengar siapa yang ditangkap SPRM walaupun ada kes, walaupun ada laporan.

"Jadi ini saya fikir jangan dijadikan sebagai presepsi bahawa PPBM itu adalah 2.0 UMNO nanti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Harapan Rakyat susulan pembubaran parti itu di Kota Kinabalu, pada Jumaat.

Sebelum ini, Lajim mendedahkan 64,000 ahli daripada Harapan Rakyat akan mengumumkan keluar parti dan menyertai Bersatu secara en bloc.

Beliau berkata, untuk rekod, esok (Sabtu), majlis pelancaran Bersatu Sabah akan diadakan di ITCC Penampang, dengan dijangkakan seramai 36,000 daripada ahli parti itu diterima sebagai ahli baharu Bersatu.

Sementara itu, mengulas mengenai kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor yang dijangkakan sebagai Pengerusi Bersatu Sabah, Lajim berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menzahirkan sokongan demi kelangsungan parti.

Beliau menambah, meskipun Hajiji yang juga bekas wakil rakyat UMNO itu menyertai Bersatu dan mempunyai rekod 'perselisihan' politik sebelum ini, Lajim berkata, ianya adalah sebagai adat resam politik sahaja dan tidak membangkitkan masalah.

"Saya bekas UMNO, memanglah hubungan itu baik, kami gaduh saja dalam politik tapi peribadi itu tidak ada masalah...saya dengan Datuk Hajiji ini adalah kawan baik.

"Semua itu adalah kawan-kawan semua Masidi (Datuk Seri Masidi Manjun) ataupun pemimpin-pemimpin baru yang ada dalam UMNO itu Datuk Arifin (Datuk Arifin Arif), Ghulam (Datuk Ghulam Khaidir) semua ini kawan-kawan yang pernah mereka ini ada di bawah saya waktu saya menjadi timbalan perdana menteri..tiada masalah," katanya.