LANGKAWI: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin menyatakan parti berkenaan adalah sebuah parti yang baik serta bersopan santun dimana perkara utama yang diperjuangkan adalah meletakkan kedudukan rakyat melebihi segalanya.

Menurutnya, ahli-ahli dan pimpinan parti berkenaan juga dilihat sebagai antara pihak yang paling kurang berpolitik walaupun banyak 'tersentuh' dengan tindakan pihak tertentu yang tidak berpegang pada janji yang telah dinyatakan sebelum ini.

"Apa yang paling penting adalah untuk memberi tumpuan kepada agenda transformasi khususnya dalam konteks kami di (Kementerian Pendidikan adalah) transformasi pendidikan.

"'As I said', kami di peringkat parti ada bila disebut tentang perkara yang dijanjikan tidak dipenuhi (seperti jawatan Timbalan Perdana Menteri) dan sebagainya, itu menimbulkan rasa tersentuh di kalangan penyokong-penyokong parti tetapi dalam masa yang sama parti ini adalah parti yang baik, parti yang bersopan santun, parti yang meletakkan kedudukan rakyat melebih segala-galanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan gimik Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Bohor Jaya di Kedawang, Langkawi pada Ahad.

Mengulas mengenai desas-desus penarikan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon yang didakwa akan dilakukan dalam tempoh terdekat, jelasnya, fokus utama yang perlu dilaksanakan ketika ini adalah bagi memastikan pelan transformasi pembangunan negara berjaya dilaksanakan.

Semalam, Radzi menyatakan Bersatu tidak membincangkan sebarang isu menarik sokongan terhadap Kerajaan Persekutuan diterajui Datuk Seri Ismail Sabri susulan tindakan Perdana Menteri itu membatalkan pertemuan bersama Perikatan Nasional (PN) di saat akhir, baru-baru ini.

Tambahnya,ketika ini masih belum menerima sebarang makluman mengenai alasan Ismail Sabri bertindak membatalkan pertemuan bersama PN itu.

Beliau turut menyatakan bahawa Bersatu juga tidak akan sewenang-wenangnya menarik sokongan terhadap Kerajaan Persekutuan, selain menunggu perbincangan lanjut diadakan bersama Ismail Sabri.