KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekalipun hubungan dengan UMNO semakin tegang.

Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia kerana Bersatu menyedari tumpuan dan keutamaan perlu diberi terhadap rakyat yang bergelut dengan pelbagai masalah ketika ini.

“Kita nakkan dalam keadaan pandemik COVID-19 ini... yang masa ini teruk (keutamaan perlu diberi kepada rakyat)... kalau tanya di sini siapa yang nak pilihan raya?.

“Jadi, walaupun dalam situasi yang orang kata tak berapa menyeronokkan (antara Bersatu dan UMNO) tetapi kerana Bersatu memikirkan soal kepentingan rakyat, kepentingan negara (Bersatu tetap sokong kerajaan dan Ismail Sabri)...

"Supaya rakyat jangan terkorban disebabkan langkah bodoh kita untuk bertindak seperti itu (tarik sokongan)... hanya memikirkan kepentingan kita dan parti kita," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi kenyataan di Facebooknya berkata Bersatu beberapa kali mengugut mahu menarik sokongan kepada kerajaan.

“Depa ini tak henti-henti ugut. Hari itu, presiden-presiden parti. Hari ini, giliran penulis manifesto bukan kitab suci. Butangkan ada?” kata Najib baru-baru ini.