Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menegaskan pesertanya dilarang daripada membawa senjata dan bahan letupan, termasuklah mercun, dan bom asap ke perhimpunan Bersih 4.0 yang akan diadakan selama 34 jam pada 29 dan 30 Ogos nanti.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata gabungan itu juga tidak menggalakkan ibu bapa untuk membawa anak-anak di bawah umur.

"Sekiranya tidak ada pilihan lain selain membawa anak-anak ke tapak perhimpunan, kami berharap ibu bapa dapat menjaga kebajikan dan keselamatan anak-anak mereka serta bertindak secara bertanggungjawab."

Maria dalam pada itu mengecam dan melarang sebarang tindakan vandalisme terhadap harta awam, selain menegah para peserta daripada terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan atau melayan sebarang provokasi daripada mana-mana pihak.

BACA: Bersih 4.0 - Empat perkara anda perlu tahu sebelum hujung minggu ini

Jelasnya lagi, perhimpunan Bersih 4.0 itu tidak akan mengganggu majlis raptai dan persiapan menyambut Hari Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur

"Kita tidak akan melampaui halangan-halangan yang telah diletakkan oleh pihak polis dan kita tidak akan masuk ke Dataran Merdeka bagi menghormati majlis raptai dan persiapan menyambut sambutan Hari Kebangsaan.

"Bersih 2.0 telah dimaklumkan bahawa jalan raya yang ditutup bagi majlis raptai hanya ditutup pada waktu-waktu tertentu yang tidak melibatkan jangka masa perhimpunan Bersih 4.0 dijalankan. Hal ini juga sudah disahkan pihak polis," tambah beliau dalam satu sidang media anjuran Bersih 4.0 di Hotel Crystal Crown, di sini hari ini.

Di Kuala Lumpur, peserta akan berkumpul di lima tempat iaitu di Masjid Negara, Brickfields, Pasar Seni, Menara Maybank dan di hadapan Kompleks Beli Belah Sogo sebelum berjalan menuju ke kawasan sekitar Dataran Merdeka.

Tambah Maria lagi, setakat ini Bersih 2.0 telah menerima sumbangan derma berjumlah lebih RM2 juta dan segala jumlah yang diterima itu akan diaudit untuk makluman orang ramai.

Beliau juga berkata walaupun tidak dapat menjangkakan berapa ramai yang akan menyertai perhimpunan ini namun beliau mengharapkan jumlah itu lebih daripada mereka yang menyertai Bersih 3.0, tiga tahun lalu.