Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Thomas Fann berkata, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bakal menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa korupsi boleh ditoleransi jika 'maslahat lebih besar' dapat dicapai melalui pelantikan mereka yang terpalit dengan kes rasuah.
"Walaupun Perdana Menteri baharu sedang mempertimbangkan Kabinetnya, beliau sedang didesak untuk membentuk pasukan yang bukan sahaja daripada gabungan PH malahan juga ahli Parlimen daripada parti-parti lain yang memberikan beliau jumlah yang majoriti untuk membentuk kerajaan.
"Antara calon untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang masih menjalani perbicaraan melibatkan 47 pendakwaan rasuah. Individu lain yang juga sedang dibicarakan adalah Lim Guan Eng (DAP), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (UMNO).
PANTAU KERAJAAN BAHARU. KLIK DI SINI!
"Pendirian saya adalah mana-mana orang yang sedang menjalani kes jenayah tidak sepatutnya dilantik ke dalam Kabinet sehinggalah dibebaskan sepenuhnya oleh mahkamah tanpa campur tangan eksekutif melalui pengguguran pendakwaan oleh Peguam Negara, yang sebenarnya merupakan lantikan politik.
"Benar, seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan. Maka biarkan mahkamah membuktikannya dan jika mereka tidak bersalah, rombak semula Kabinet dan masukkan mereka. Kita tidak kekurangan bakat ahli-ahli Parlimen dan kita tidak akan sengsara tanpa sumbangan mereka sementara menunggu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, sebagai pertubuhan masyarakat sivil yang bertanggungjawab, Bersih yang dipimpinnya akan terus konsisten menyuarakan kebimbangan dan pandangan terhadap tata kelola dan proses demokrasi.
"Peranan masyarakat sivil dan aktivis dalam negara adalah untuk menjadi suara nurani bagi kebenaran. Kami akan terus bersuara terhadap apa yang diterima sebagai adil, inklusif, baik dan rasional supaya kuasa akan terus diperingatkan tentang tanggungjawab mereka terhadap kita," katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Thomas turut mengesyorkan kepada Anwar supaya menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) dengan gabungan parti yang menyertai pentadbirannya bagi mencapai kestabilan politik.
Jelasnya, Perdana Menteri baharu itu juga dicadang supaya melakukan reformasi Parlimen untuk memberi ruang 'Backbenchers' dan Pembangkang memainkan peranan semak dan imbang yang berkesan.
"Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seharusnya menjadi peluang emas untuk membina semula Malaysia, oleh itu jangan sesekali berkompromi dengan prinsip-prinsip penting yang kita lawan bertahun-tahun lamanya.
"Prinsip yang membezakan antara kita dan cara lama mentadbir. Rasuah adalah barah dan semua orang dalam negara ini seiring dalam hal ini. Marilah kita menghantar mesej yang jelas bahawa Malaysia sedang bangkit dan kita tidak akan bertoleransi dengan korupsi atau sang koruptor," katanya. -- Sinar Harian