Bertutur Bahasa Inggeris tidak bermakna lupakan tradisi kita - Permaisuri

Bernama
Oktober 14, 2019 09:32 MYT
Raja Permaisuri Agong bertitah bahawa seseorang masih boleh memiliki nilai-nilai penting dan membesar menjadi rakyat global yang boleh dibanggakan oleh Malaysia dan pada masa yang sama fasih berbahasa Inggeris. - Bernama
Bertutur dalam bahasa Inggeris tidak bermakna kita telah melupakan tradisi kita, juga ia bukan bermaksud meninggalkan identiti kita, demikian titah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Raja Permaisuri Agong bertitah bahawa seseorang masih boleh memiliki nilai-nilai penting dan membesar menjadi rakyat global yang boleh dibanggakan oleh Malaysia dan pada masa yang sama fasih berbahasa Inggeris.
Meningkatkan keupayaan berbahasa Inggeris juga, titah Permaisuri Agong, akan membuka lebih banyak peluang dalam kehidupanan peribadi dan profesional, yang akan membolehkan seseorang itu bersaing dalam ekonomi global yang sememangnya pesat berubah.
"Untuk Malaysia menjadi lebih sejahtera, kita perlu berkomunikasi dan melibatkan diri dengan jiran. Kita tidak boleh menjadi masyarakat yang tertutup, yang turut tidak kita mahukan. Kita harus berbangga dengan negara dan kebudayaan kita.
"Ia menjadi tanggungjawab kita untuk berkongsi ilmu, adat resam dan kebudayaan dengan komuniti dunia yang luas. Belajar dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris membolehkan kita melaksanakannya," titah Tunku Azizah ketika berucap pada majlis Pahang Fulbright English Teaching Assistant Showcase 2019 di sini pada Isnin.
#bahasa Inggeris #Raja Permaisuri Agong #tradisi #Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah