KUALA LUMPUR: SELAMA 11 bulan umat Islam mengisi perut mereka di awal pagi dengan sarapan. Macam-macam juadah, nasi lemak, roti canai, kuih-muih dan tentunya teh tarik atau kopi.

Tibanya Ramadan, awal pagi - seawal jam 5 pagi - perut mereka diisi dengan makanan, mungkin juadah sama namun ia bukan sarapan tapi bersahur.

Sahur hukumnya sunat, namun, tidak digalakkan tinggalkan sahur atau bersahur terlalu awal kerana ia mungkin menjejaskan puasa anda di siang hari.

Menurut tulisan dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Imam al-Nawawi dalam syarahnya berkaitan hadis mengenai sahur menyebut:

"Pada hadis ini menunjukkan galakan untuk bersahur. Ulama telah bersepakat bahawa bersahur itu sunat dan digalakkan, dan ianya bukanlah wajib, namun pada zahirnya, terdapat berkat dalam sahur itu.

“Ia menguatkan dan memberi semangat untuk berpuasa, menjadikannya sebab dan galakan untuk menambahkan puasa disebabkan keringanan beban bagi orang yang telah bersahur, dan ia adalah pandangan yang tepat yang muktamad pada maknanya.

“Dan dikatakan: ditambah pula dengan perbuatan bangun, berzikir, berdoa pada waktu yang mulia, iaitu waktu diturunkan rahmat, dimakbulkan doa dan istighfar." 


(Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 7/206)

Justeru, keberkatan bersahur yang ditunjukkan dalam beberapa hadis terbahagi kepada dua jenis keberkatan:

Keberkatan Syar'iyyah: Keberkatan dalam mengikut sunnah baginda Rasulullah SAW, mendapat ganjaran dan pahala, penyebab kepada berzikir, berdoa, beristighfar pada waktu sahur yang merupakan waktu yang mustajab doanya.

Keberkatan Badaniyah: Keberkatan pada sahur tersebut memberikan bekalan nutrien dan tenaga kepada badan serta menguatkan semangat untuk berpuasa, dan menahan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar. 

Dalam pada itu, pendakwah, Ustaz Hanafi Malek menyenaraikan beberapa kelebihan bersahur.

Menurut beliau, bersahur bukan hanya sunnah Nabi semata-mata, tapi terdapat banyak keberkatan di dalamnya.

Selain itu, ia juga memberi tenaga kepada umat Islam ketika bepuasa dan turut mendapat ganjaran pahala. 

“Bersahur juga merupakan antara kaedah terbaik untuk mendirikan solat tahajud pada dua pertiga malam.

“Malah, ia juga membolehkan umat Islam menunaikan solat Subuh pada awal waktu,” katanya kepada Astro AWANI.