Pemimpin UMNO perlu lebih agresif membetulkan persepsi negatif yang mendakwa parti tidak lagi relevan kepada orang Melayu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, ia menjadi tanggungjawab pemimpin itu sendiri bagi memastikan tahap sokongan orang Melayu terhadap parti terus kekal.

"Walaupun persepsi bersifat negatif itu dimainkan pihak pembangkang, tetapi penularannya secara terancang boleh menghakis pendirian dan sikap pengundi.

"Golongan berkepentingan buat tuduhan parti politik baru ditubuhkan untuk ganti UMNO, ini semua mainan persepsi yang boleh mengelirukan rakyat terutama orang Melayu yang selama ini setia kepada parti," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Syed Ali turut mengingatkan pemimpin UMNO agar tidak memandang mudah perang persepsi kerana kesannya pernah menimpa parti dan Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-12 dan ke-13.

"Apatah lagi perkembangan dunia siber dan penggunaan aplikasi mudah alih yang menjadi medium utama untuk menyalurkan pelbagai maklumat tidak dapat disekat secara berkesan.

"Hari ini, maklumat berada di hujung jari, apa sahaja berita termasuk fitnah dan serangan persepsi memburukkan dan mencerca UMNO begitu mudah dilakukan dan juga begitu mudah pula dipercayai masyarakat," katanya.

Syed Ali menambah peperangan politik di alam maya semakin agresif selain menjadi alternatif serta penyumbang kepada perubahansenario politik negara masa kini.

"Generasi muda lebih berminat untuk mendapat dan mempercayai maklumat yang disebar menerusi laman-laman sosial walaupun informasi itu ada yang berbau fitnah dan diragui kesahihannya," ujarnya.

Justeru tegasnya, semua peringkat kepimpinan UMNO perlu lebih berperanan untuk menyekat penularan persepsi tersebut dengan lebih agresif dan menyerang balas pihak pembangkang.

"Hampir semua pemimpin UMNO mempunyai kemudahan sepertimana dimiliki pembangkang, mengapa tidak guna akses tersebut untuk menyerang mereka?

"Walaupun pembangkang menggunakan bahan fitnah sebagai senjata, UMNO pula perlu memberikan penjelasan yang tepat dan telus kepada peringkat akar umbi dan tidak sewajarnya melakukan fitnah," jelasnya.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, semua pihak tidak harus memandang ringan terhadap perkembangan pembangkang sejak akhir-akhir ini.

"Apa juga perkembangan politik yang berlaku terutama membabitkan pakatan pembangkang perlu diteliti dan kaji daripada setiap sudut.

"Kita jangan mudah leka dan memandang lekeh terhadap kemampuan mereka, kita perlu melihat sebagai cabaran kepada UMNO mempersiapkan diri untuk berdepan PRU akan datang," tegasnya.