TANAH MERAH: Majlis Pemulihan Negara (MPN) tidak mempunyai kuasa eksekutif sebagaimana kementerian atau agensi, sebaliknya, hanya memberi perkhidmatan nasihat kepada kerajaan berkaitan pelaksanaan langkah-langkah yang perlu diambil dalam Pelan Pemulihan Negara.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menepis dakwaan yang dilontarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini terhadap majlis itu dan beliau menganggap kenyataan tersebut bersifat muslihat politik semata-mata.

"Gagal atau tidak MPN bergantung kepada keputusan kerajaan dan rakyat untuk menilai sejauh mana majlis itu bertindak dalam membantu kerajaan serta Jemaah Menteri membuat keputusan berkaitan pemulihan ekonomi dan sosial negara.

"Kami badan yang memberi nasihat, jadi nak kata gagal atau tak gagal itu terserah, kalau kerajaan fikir cadangan kita baik, dia akan teruskan. Tapi saya faham proses pemulihan ini tidak mudah.

"Kalau ada perkara baharu yang tidak disenaraikan dan penting untuk dilakukan, kita akan maklumkan kepada kerajaan. Oleh itu, saya serahkan kepada rakyat untuk menilai (MPN), kadang-kadang apabila orang politik buat kenyataan, ada muslihat politik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) peringkat Negeri Kelantan di Padang Majlis Daerah Tanah Merah hari ini, yang dihadiri Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang juga Menteri Besar Kelantan.

Sebelum ini, media melaporkan Ahmad Zahid baru-baru ini mendakwa penubuhan MPN sejak awal tidak membuahkan hasil dan hanya berfungsi sebagai penasihat kerajaan serta menyarankan agar ia dibubarkan.
- BERNAMA