Chua Tian Chang tidak melihat pertemuan yang sering kali terjadi antara Rafizi Ramli, Nurul Izzah Anwar dan Khairy Jamaluddin sebagai satu isu yang perlu diberi perhatian serius.

Katanya, ia menepati kebebasan yang diamalkan di negara ini dan mereka berhak untuk berjumpa dengan sesiapa pun tanpa sebarang halangan.

“Kita jumpa semua orang. Ini kan negara bebas. Kita jumpa dengan pelbagai jenis orang. Jadi, kalau mereka berjumpa pun, apa isunya?” soal Naib Presiden PKR itu yang lebih dikenali sebagai Tian Chua.

Katanya, isu itu menjadi sensasi dan menarik perhatian orang ramai apabila digembar-gemburkan oleh pihak media memandangkan mereka tidak mempunyai pendirian politik yang sama.

BACA: Wujudkan 'parti' orang muda? Ini jawab Rafizi

Tian Chua berkata demikian selepas menghadiri forum “Reformasi Sistem Pilihan Raya dan Pengukuhan Demokrasi” anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Bersih 2.0 di sini malam tadi.

Ditanya sama ada pertemuan ketiga-tiga ahli politik itu boleh disifatkan sebagai tidak menghormati pendirian parti, Tian Chua menegaskan, dia tidak beranggapan sebegitu.

“Ia timbul disebabkan media memutar belitkan isu tersebut, kononnya ketiga-tiga mereka sedang merancang plot, dan mereka adalah ahli politik generasi baharu atau gerakan politik tertentu.

"Saya rasa ia adalah benar-benar spekulasi yang dimainkan oleh media. Dan saya rasa kita tidak perlu mengandaikan tindakan yang dilakukan oleh ahli politik,” tambahnya.

BACA: 'Sekali sekala, kami jumpa untuk makan tengah hari bersama'

Nurul Izzah merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh dari Pakatan Harapan, juga Naib Presiden PKR, sementara Khairy adalah Ahli Parlimen Rembau dari Barisan Nasional.

Sementara Rafizi adalah bekas wakil rakyat Parlimen Pandan, juga bekas Naib Presiden PKR.