KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan pada Ogos kerana saksi terakhir pendakwaan yang dijadualkan memberi keterangan hari ini mengalami masalah pendarahan usus.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa saksi berkenaan iaitu Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Haniff Lami sedang bercuti sakit dua hari kerana keadaan beliau agak teruk.

"Saya sudah berusaha membuat perancangan supaya keterangan beliau dibuat menerusi mesyuarat aplikasi Zoom

"Saya memohon maaf untuk perkara itu, kerana maklumat diterima lewat petang semalam iaitu hampir pukul 7 malam...sijil sakitnya ada di mahkamah dan beliau diberi cuti sakit dua hari," kata Sri Ram.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian berkata perbicaraan akan bersambung semula pada 12 Ogos dengan peguam utama Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan meneruskan sesi pemeriksaan balas terhadap saksi ke-15 pendakwaan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy manakala Haniff akan tunggu sedia untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan terakhir.

Semasa prosiding hari ini, Arul Kanda yang didakwa bersama Najib dalam perbicaraan meminda laporan audit 1MDB tidak hadir di mahkamah manakala Najib berada di kandang tertuduh.

Peguam Najib Rahmat Hazlan memaklumkan mahkamah bahawa peguam Arul Kanda, Jasmine Cheong memohon maaf atas ketidakhadirannya dan anak guamnya (Arul Kanda) di mahkamah hari ini kerana berlaku salah faham dengan pihak pendakwaan, manakala Sri Ram juga meminta mahkamah memberikan alasan mengenai ketidakhadiran Arul Kanda hari ini.

Sri Ram berkata mahkamah masih perlu membuat perintah formal untuk membenarkan ketidakhadiran Arul Kanda kerana dia masih tertuduh sehingga diberikan sijil tanggung rugi dan hakim menjawab, "Ketidakhadiran beliau dimaafkan".

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA