Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa beberapa ketua agensi kerajaan akan ditukarkan selepas ini.

Ini kerana katanya, beberapa ketua agensi kerajaan berkenaan didakwa membantu dan bersubahat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Beberapa ketua agensi akan digugurkan kerana kita dapati individu-individu ini membantu dan bersubahat dengan bekas perdana menteri yang dikecam di seluruh dunia sebagai kleptokrat," katanya dalam sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7, hari ini.


Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan membuat perubahan di dalam agensi yang sebelum ini didakwa melindungi bekas perdana menteri berkenaan.

Terdahulu Mahathir secara rasminya dilantik sebagai Perdana Menteri selepas majlis Istiadat Angkat Sumpah Perdana Menteri ke-7 di Istana Negara, 9.45 malam tadi.