KUALA LUMPUR: Bilangan penganggur dalam negara meningkat sedikit kepada 778,200 namun kadar pengangguran bulan Julai kekal pada 4.8 peratus.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pada Julai 2021, bilangan guna tenaga terus menurun namun pada kadar yang perlahan, manakala pengangguran merekodkan sedikit peningkatan.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, seluruh negara diletakkan di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal Julai susulan peningkatan berterusan jumlah kes baharu COVID-19 dan kadar vaksinasi yang semakin tinggi.

Tambahnya, lapan negeri yang beralih ke Fasa 2 PPN, membawa kepada beberapa kesan positif terhadap ekonomi dan seterusnya kepada kedudukan tenaga buruh di negeri-negeri tersebut.

Berdasarkan sektor ekonomi, semua sektor mencatatkan penurunan bulan ke bulan kecuali sektor perkhidmatan dengan perubahan positif yang kecil.