KUALA LUMPUR: Bilangan rakyat Malaysia yang hidup di bawah garisan kemiskinan negara iaitu AS$10 (RM41.84) per individu per hari, dijangka akan menurun secara berperingkat dengan kadar kemiskinan akan kembali kepada zaman pra-pandemik COVID-19, menjelang 2022.

Tinjauan Kemiskinan Makro oleh Kumpulan Bank Dunia yang diterbitkan hari ini melaporkan, ekonomi negara pula dijangka berkembang sebanyak 3.3 peratus untuk tahun 2021 iaitu penurunan sebanyak 1.2 mata peratusan berbanding unjuran awal sejak Jun tahun ini.

Namun laporan itu menyebut, pandemik COVID-19 telah menyebabkan pekerjaan tidak sekata serta kejutan pendapatan khususnya dalam kalangan pekerja berkemahiran rendah, pekerja tidak formal serta golongan berpendapatan rendah.

“Kebimbangan yang timbul ialah pemulihan juga tidak sekata dengan populasi rentan berisiko untuk menerima kesan ketidakseimbangan yang akhirnya terdedah kepada ancaman ketaksamaan.

“Kepantasan serta trajektori untuk pemulihan bergerak ke hadapan bergantung kepada beberapa faktor, antaranya kepantasan program vaksinasi negara serta keberkesanan langkah-langkah menangani pandemik COVID-19,” menurut dokumen itu lagi.

Kumpulan Bank Dunia juga berkata, kemajuan program vaksinasi boleh meringankan tekanan terhadap sistem kesihatan dan membolehkan kelonggaran terhadap beberapa langkah pembendungan COVID-19.

Dalam masa sama, Kumpulan Bank Dunia berkata, ada keperluan untuk meningkatkan ujian saringan dan mekanisme pengesanan bagi meminimumkan risiko peningkatan kes pada masa akan datang.

Sementara itu, dalam kenyataan media berlainan, Kumpulan Bank Dunia berkata, pemulihan bagi rantau Asia Timur dan Pasifik telah dilemahkan oleh penularan varian Delta, sekali gus melanjutkan lagi tekanan untuk syarikat serta isi rumah.

Situasi itu, jelas bank berkenaan, akan melambatkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan ketaksamaan.

“Ketika ekonomi China diunjurkan berkembang sebanyak 8.5 peratus, negara-negara di rantau itu dijangka berkembang pada 2.5 peratus, hampir 2 mata peratusan kurang berbanding unjuran yang dilakukan pada April 2021.

“Kadar pekerjaan serta penyertaan tenaga buruh telah menurun, dengan hampir 24 juta individu tidak dapat melepaskan diri dari kemiskinan pada tahun 2021,” menurut laporan itu lagi.

Kumpulan Bank Dunia berkata, di sebalik keadaan tersebut, timbul peluang bagi semua negara terbabit untuk menghasilkan polisi yang boleh mempromosi pertumbuhan yang saksama.

Antaranya, polisi makroekonomi perlu menyokong pertumbuhan; sistem perlindungan sosial perlu memastikan keterangkuman serta penggunaan teknologi untuk menggalakkan produktiviti, menambahbaik pembelajaran, serta menukar institusi negara.