PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia mengumumkan bilik gerakan banjir Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) telah dibuka di Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Perak, Melaka serta di Sabah dan Sarawak. 

Dalam sebuah kenyataan media, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memaklumkan kesemua bilik gerakan akan menyelaras, mengkoordinasi dan mengendalikan keperluan melibatkan bencana banjir.

“Maklumat di CPRC negeri akan dikongsikan dengan CPRC Kebangsaan di KKM dan juga dengan pelbagai agensi lain yang terlibat dalam usaha menyelamat dan perpindahan ke PPS.

“KKM juga telah menggerakkan 20 pasukan kesihatan mental dan sokongan psikososial (MHPSS) bagi bantuan perkhidmatan sokongan emosi dan awal psikologi (PFA) kepada mangsa-mangsa banjir di lokasi terkesan,” katanya.

Tambah beliau, anggota kesihatan juga berkemungkinan terkesan dari segi emosi akibat bencana ini dan mereka juga sedang dikenal pasti agar bantuan awal psikologi dapat diberi mengikut keperluan.

KKM turut bekerjasama membantu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Saya memahami kesungguhan anggota keselamatan dan penyelamat yang bertungkus lumus menyelamatkan mangsa banjir.

"Melihat kepada perkembangan semasa, saya akan mencadangkan kepada KKM untuk menyediakan pasukan paramedik buat anggota penyelamat dan keselamatan agar mereka dapat lakukan pemeriksaan kesihatan berkala bagi memastikan tahap kesihatan mereka memuaskan ketika bertugas,” katanya.

Secara keseluruhan, sebanyak 835 PFA telah dilakukan kepada orang awam dan 21 PFA kepada petugas barisan hadapan dengan tiada kes yang dirujuk kepada Pakar Perubatan Keluarga atau Pakar Perubatan Psikiatri.