SUBANG JAYA: Bimbang selepas hubungan sulit terbongkar, seorang lelaki warga India bertindak membunuh dan menanam suami kepada teman wanitanya, di belakang sebuah rumah banglo yang dijadikan sebagai pusat penjagaan orang tua di Subang Jaya di sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, bertindak atas laporan rakan mangsa pada Khamis lalu, polis menahan suspek dan selepas disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya lelaki itu mengaku membunuh mangsa dengan mengelar leher mangsa sehingga mati sebelum menanamnya.

Beliau memberitahu, lelaki berusia 30 tahun itu kemudian membawa polis menunjukkan lokasi mangsa ditanam iaitu di lereng bukit belakang rumah banglo tersebut.







"Polis dari IPD Subang Jaya bersama pasukan pasukan forensik, kemudian menemui sebuah bungkusan plastik yang dilpercayai digunakan untuk membalut tubuh mangsa," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Berdasarkan siasatan, Wan Azlan berkata, mangsa yang berusia 25 tahun itu dibunuh sekitar Mei tahun lalu.

Katanya, suspek, mangsa dan isteri mangsa bekerja di pusat penjagaan orang tua itu.

"Kita turut menyiasat termasuk dari aspek penglibatan isteri mangsa secara langsung dalam insiden ini kerana laporan dibuat oleh rakan mangsa dan bukan isteri si mati," ujarnya. 

Beliau memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Susulan itu katanya, polis menahan suspek dan isterinya yang juga warga India pada Khamis lalu.

"Kemudian pada keesokan harinya, kira-kira pukul 2.30 petang, polis menahan tiga wanita termasuk dua rakyat tempatan dan seorang warga Indonesia, yang berusia 25 hingga 35 tahun. Siasatan mendapati ketiga-tiga wanita ini tiada rekod lampau," jelasnya. 

Kesemua mereka katanya ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit dengan kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi IPD Subang Jaya di talian 03-78627100 atau mana-mana balai polis berhampiran.