BMW Malaysia sudah memulakan penjualan model X6 yang dipasang di kilang mereka di Kulim, Kedah, model ke-sembilan CKD mereka. BMW X6 xDrive35i M Sport pemasangan tempatan yang baru ini nyata mengukuhkan lagi posisinya di dalam kelasnya menerusi tarikan luar biasa, prestasi mengagumkan dan inovasi kemewahan.

Berucap pada majlis pelancaran tersebut, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia berkata, “Malaysia terus menjadi hab strategik untuk BMW Group di Asia Tenggara. Selain pemasangan BMW X6 baharu di negara ini, kami juga meraikan majlis pecah tanah Pusat Pengedaran Alat Ganti serantau yang baru di Zon Perdagangan Bebas di Lapangan Antarabangsa Senai, Johor serta pengembangan ibu pejabat kami di Cyberjaya, selari dengan sambutan 11 tahun kami beroperasi di sini.”

BMW X6 xDrive35i M Sport ini digerakkan oleh enjin petrol enam silinder 3.0-liter bersama BMW EfficientDynamics yang memiliki sehingga 306hp dan tork puncak 400Nm. Ia mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa hanya 6.4 saat dengan pecutan maksimum 240 km/j. Kotak gear pula adalah Steptronic lapan kelajuan yang membantu untuk mencatat purata penggunaan bahan api 8.6l/100km.

Satu lagi sistem bantuan pemanduan unik yang ada pada BMW X6 xDrive35i M Sport pemasangan tempatan baharu ialah Surround View 360◦. Ia menawarkan pandangan 360 darjah ketika memarkir kenderaan, mengubah haluan dan masuk ke dalam ruang-ruang tertentu.

Harga runcit (di atas jalan, tidak termasuk insurans bersama Jaminan Perbatuan Tanpa Had selama 5 tahun BMW Malaysia dan Program Servis Berjadual Percuma) untuk BMW X6 xDrive35i M Sport baharu CKD ialah RM666,888.

Dalam hal berkaitan, BMW Group Malaysia mengumumkan bahawa mereka telah menyerahkan sebanyak 5,610 unit kenderaan ke seluruh negara bagi tahun ini (sehingga bulan Ogos); merangkumi 4,475 unit BMW, 481 MINI dan 654 motosikal BMW Motorrad.

(Klik untuk galeri penuh)