Manifesto khusus untuk orang muda merupakan sesuatu yang istimewa dan kali pertama akan diperkenalkan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran berkata, ia membuktikan BN memberi kepentingan untuk orang muda yang bakal menerajui negara dalam pelbagai bidang.

"Semua janji-janji itu adalah sangat praktikal dan boleh dicapai secara efisyen.

"Ia juga memberi keyakinan kepada gologan muda bahawa BN merupakan parti pilihan mereka dan ia mempunyai perancangan yang sangat proaktif.

"BN sentiasa mendengar denyutan nadi orang muda dalam membentuk polisi dan pelan pembangunan negara. Manifesto golongan muda bukti BN mementingkan generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

BACA: Manifesto PH tidak bela kebajikan masyarakat India - Sivarraajh

BACA:
Manifesto PH populis tetapi strategik - Penganalisis

Dalam pada itu jelas Sivarraajh, semua manifesto itu dibuat selepas analisis dan beberapa perjumpaan serta perbincangan dengan orang muda dan sayap pemuda parti-parti komponen sebelum dibentangkan kepada kepimpinan.

"Ia adalah manifesto holistik dan menarik untuk orang muda.

"Manifesto ini menjanjikan penyelesaian kepada dilema golongan muda seperti peningkatan kemahiran selaras dengan keperluan industri dan negara, perumahan, kos sara hidup, peningkatan pendapatan, usahawan, dan pelbagai lagi janji yang akan dilaksanakan oleh BN untuk generasi masa depan.

"Maka, wajarlah orang muda memilih dan terus menyokong BN bagi menjamin masa depan mereka dan negara," ujarnya.

Tegasnua, manisfesto Pakatan Harapan pula hanya terarah kepada janji-janji manis tetapi tidak praktikal dan tidak ada penjelasan.

"Ia sama seperti janji-janji retorik Pakatan Rakyat yang dijaja dalam PRU lepas," katanya.

Pada Khamis, PH melancarkan manifesto PRU14 yang menjanjikan 10 perkara, bagi meringankan beban rakyat dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran kerajaan PH.

Sebelum ini, Datuk Seri Najib memberitahu, BN akan menjadikan manifesto PRU-14 sebagai yang terbaik dalam memperjuangkan nasib rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.

Tegasnya, semua manifesto dijanjikan akan dilaksanakan sebaik mungkin seperti manifesto PRU ke-13 yang lalu antaranya pemansuhan empat tol pada 1 Januari lalu.

Katanya, manifesto itu akan diumumkan apabila tiba masanya dan menjadi keutamaan BN dalam memperjuangkan untung nasib rakyat.