PONTIAN: Barisan Nasional (BN) hanya akan berunding berhubung kerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekiranya mendapat sekurang-kurangnya 112 kerusi  selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, hanya parti itu yang menjadi pilihan utama BN dan bukannya gabungan parti lain.

Ini kerana katanya GPS adalah rakan karib BN dan ia akan menjalinkan rundingan bersama GPS untuk membentuk kerajaan jika memenangi sejumlah kerusi Parlimen pada Sabtu.

"Katalah kami dapat 112 kerusi, Sabah dan Semenanjung dapat 112 kerusi dengan siapa lagi kami hendak berbincang? Tentunya kami nak berbincang dengan GPS Sarawak. Kenapa dengan GPS? Sebab GPS adalah rakan karib BN.

“Apa bukti? Kerana BN tidak bertanding pada PRN Sarawak dan tidak bertanding pada PRU kali ini, yang bertanding di Sarawak ialah PH dan PN. Apabila PH dan PN yang bertanding di Sarawak, tentulah pada pandangan saya GPS tidak hendak berunding dengan mereka.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Cuaca baik diramal sebelah pagi di beberapa negeri esok


“GPS hendak berunding dengan BN, dengan lain jawapan, memang kami hendak berunding tetapi kami hendak berunding dengan pertama GPS, dengan GPS itu penting. Kami berunding sebab GPS mengatakan kemungkinan mereka boleh dapatkan 25 daripada 31 kerusi, kalau kami dapat 112, Sabah, Semenanjung campur 25 kerusi dah jadi 137 kerusi.

“Jadi saya ingin mengesahkan bahawa memang akan ada perundingan lepas PRU dengan GPS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa berkempen di sekitar Pontian hari ini.

SEMAK SEMUA CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI

Ahmad yang juga calon BN Parlimen Pontian berkata demikian ketika diminta mengulas kerjasama BN selepas PRU15.

Pada 12 November lalu, Presiden Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan mendakwa BN akan menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU15.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dakwaan itu hanyalah satu andaian untuk memberi gambaran salah kepada BN pada kempen PRU15 ini.