Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus menjaga hubungan baik dengan China lantaran negara itu telah mendatangkan banyak faedah kepada negara.

Malah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata China juga merupakan pengimport utama komoditi kelapa sawit dan getah Malaysia.

Justeru katanya, sekiranya Malaysia memutuskan hubungan perdagangan dengan China, ia pastinya akan memberi nasib malang kepada warga Felda.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada maklumkan dua, tiga hari lepas kalau kita (Malaysia) berkelahi dengan China, apalah nasib akan menimpa warga Felda kerana ia menjejaskan eksport kelapa sawit.

"Sekarang kita amat bimbang dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang menyatakan bahawa semua projek-projek mega dengan China akan dikaji semula. Hal ini kita yakin PH tidak akan memerintah negara ini," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai) yang bertanyakan adakah kementerian akan membuat analisis kepentingan negara untuk 'One Belt One Road Initiative' dan apakah mekanisme dasar telah dilaksanakan untuk merealisasikan inisiatif ini dan memastikan rakyat dapat menikmati manfaat tersebut.

Tambah Mustapa, sekiranya situasi itu berlaku ia akan menjejaskan hubungan baik dari segi pelaburan, perdagangan dan juga infrastruktur dengan China.

"Tetapi jika itu dilakukan nak kaji semula pelaburan Alliance Steel di Kuantan nak kaji semula pelabuhan Kuantan, pelaburan solar di Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak, ini akan menjejaskan hubungan negara kita dan China termasuk harga kelapa sawait, getah, pelaburan.

"Oleh itu, kerajaan BN akan memupuk hubungan baik dengan negara China kerana ia telah mendatangkan banyak faedah untuk negara kita termasuklah untuk mewujudkan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan," jelas beliau.

Mustapa memaklumkan dari aspek infarstruktur, Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM5.5 juta telah dibiayai sebanyak 85 peratus oleh China.

"Ini merupakan satu projek 'game changer' akan mengubah lanskap ekonomi pantai timur khususnya Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Inilah antara faedah yang diperolehi oleh rakyat Malaysia, jadi kita telah mendapat faedah yang besar daripada hubungan yang baik dengan negara China sebagai kuasa kedua terbesar di dunia dari segi modal, teknologi hebat, begitu juga modal yang cukup besar. Oleh itu dasar Malaysia tepat.

"Saya bersyukur cuma sekerat dua yang mengiyakan dakwaan fitnah serta dakyah pembangkang kerana kebanyakan rakyat Malaysia mengetahui hubungan dengan China ini membuka peluang pekerjaan kepada orang miskin (B40)," tambahnya.