Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak berkata Barisan Nasional akan mengumumkan calon yang akan bertanding PRU-13 lebih awal.

Namun beliau tidak menyatakan bila senarai calon itu akan diumumkan.

"Kita akan umumkan calon lebih awal daripada biasa supaya calon boleh bersiap sedia dan memperkenalkan diri mereka lebih awal," kata Najib pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Dewan Tertinggi BN di ibu negara.

Kenyataan itu membayangkan kemungkinan BN bakal mengumumkan senarai 'winnable candidate' sebelum hari penamaan calon.

Ujarnya, langkah itu memastikan calon yang boleh menang lebih bersedia dan mampu mengelak sebarang permasalahan.

"Kalau kita umumkan lebih awal lagi, kita ada bagi tempoh lebih lama untuk calon kenal diri dan kita ada masa untuk perhati calon, apa perkara dilakukan untuk redakan keadaan jika timbul masalah dan sebagainya," ujarnya.

Dalam sidang media itu juga, Najib turut diasak tentang soalan terutamanya mengenai calon muka baru.

"Akan ada perubahan berlaku. Kalau saya umum sekarang tak 'surprise'," ujar Najib.

Mengulas mengenai manifesto PRU ke 13 BN yang akan dilancarkan di Stadium Putra Bukit Jalil Sabtu ini, Najib berkata, BN komited untuk membawa perubahan dan perubahan kepada negara.

"Kita nak manifesto difahami dan dihayati oleh rakyat sebab manifesto ini adalah komitmen serius BN. Kita telah empat tahun membuktikan janji ditepati dan saya yakin manifesto itu lambang janji baru pada rakyat, "katanya.

Beliau juga optimis BN mampu menang besar dan pada masa sama berupaya mengurangkan masalah dalaman parti.

Dalam pada itu, Najib turut menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak yakin untuk menang di Permatang Pauh.

Keadaan itu menyebabkan ketua pembangkang itu lebih berminat untuk bertanding di Perak.

Najib berkata, kedudukan Anwar sudah tidak selesa di Permatang Pauh dan menyebabkan ketua pembangkang itu sanggup meninggalkan penyokongnya di kawasan itu.

"Saya rasa dia (Anwar) tidak selesa di Permatang Pauh, kerana dia meninggalkan orang yang selama ini menyokongnya sejak dia memasuki dunia politik, "katanya.

Malah, Najib turut membayangkan beliau sendiri berhasrat untuk mempertahankan kerusi di Pekan.

"Saya tidak pernah rasa mahu meninggalkan Pekan. Saya tetap dengan rekod saya, hidup mati saya adalah di Pekan," tegasnya.

Justeru, beliau berharap tindakan Anwar itu memberikan kesedaran kepada rakyat bahawa Anwar bukan pemimpin pilihan mereka.

Ditanya mengapa beliau memilih 3 April 2012 untuk membubarkan parlimen, jelasnya, ia bagi menggenapkan tempoh empat tahun pentadbirannya.

Tegasnya, empat tahun adalah penting bagi sesebuah negara untuk memerintah kerana ia membolehkan rakyat menilai keberkesanan dasar transformasi yang diperkenalkan.

Klik video untuk laporan Astro AWANI.