Barisan Nasional (BN) berjanji untuk menarik pelaburan berjumlah RM1.3 trilion dalam tempoh lima tahun akan datang, yang akan mewujudkan 3.3 juta peluang kerja baharu.

Usaha itu akan meningkatkan status global negara menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 dengan pendapatan berkapita AS$15,000 (RM45,000) dicapai menjelang tahun 2020.

Ini adalah antara janji BN dalam manifestonya bertema "Menepati Janji Membawa Harapan" yang dilancarkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam ini.

Daripada 3.3 juta peluang pekerjaan baharu, dua juta daripadanya di dalam sektor berpendapatan tinggi.

BN juga berjanji sebagai sebuah negara yang menjurus ke arah menjadi negara yang berinovatif, kerajaan di bawah kepimpinan BN akan menyediakan insentif bagi perniagaan inovatif dan kreatif bagi menjana lebih banyak pekerjaan dan kekayaan, dan melahirkan lebih banyak juara di peringkat serantau dan global dalam kalangan syarikat Malaysia.

Akses kredit mikro untuk semua rakyat Malaysia juga akan ditingkatkan, termasuk peruntukan RM100 juta bagi penjaja dan peniaga kecil.

Setakat ini, kerajaan telah menyediakan kemudahan pinjaman kepada penjaja kecil dengan pinjaman sehingga RM25,000 untuk pemegang lesen dan RM500,000 untuk licensors.

Selain itu, Amanah Ikhtiar Malaysia juga menyediakan kemudahan kredit mikro sehingga RM8 bilion terutama untuk usahawan kecil wanita.

Dalam mewujudkan lebih ramai juara di peringkat serantau dan global di kalangan syarikat Malaysia, BN berjanji akan melaksanakan pelan transformasi usahawan kecil dan sederhana (SME) dan melahirkan Syarikat Dagangan Negara untuk meneroka pasaran antarabangsa bagi produk SME.

BN juga akan turut membuat pembaharuan dalam struktur cukai sedia ada ke arah sistem percukaian yang lebih terbuka serta mengurangkan cukai individu dan korporat secara berperingkat.

Mengenai pengeluaran makanan, parti gabungan itu akan bekerjasama dengan kerajaan negeri menyediakan lebih banyak tanah baharu dan meningkatkan produktiviti melalui tanah sedia ada untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan ternakan.

BN juga berjanji untuk melaksanakan dasar yang adil dan saksama kepada semua kaum, termasuk dasar menyokong pertumbuhan, penglibatan besar-besaran sektor swasta dan pembangunan pasaran modal.

Selain mempertingkatkan agenda Bumiputera termasuk Bumiputera di Sabah dan Sarawak menerusi penyediaan peluang-peluang perniagaan, ekosistem yang kukuh contohnya, kemudahan pinjaman dan latihan, serta sokongan institusi.

Bagi kaum India, BN berjanji untuk menyediakan dana saham amanah RM500 juta untuk meningkatkan pegangan ekuiti komuniti India kepada sekurang-kurangnya tiga peratus, serta menubuhkan sebuah Unit Khas bagi memastikan kejayaan pelaksanaan.

BN juga berjanji meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan sehingga melebihi 20 peratus daripada perolehan minyak dan gas kepada Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Pahang.

BN juga akan memastikan GLC terus membantu pembangunan usahawan melalui pemindahan pegangan bukan strategik GLC dan memperhebatkan program penyumberan luar kepada syarikat Bumiputera.