Barisan Nasional (BN) Johor yakin MCA mampu memenangi semula beberapa kawasan yang sebelum ini berada di tangan parti pembangkang.

Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata BN Johor bukan sahaja berkeyakinan merampas kembali kawasan yang ditawan malah peranan dan sumbangan yang dimainkan MCA juga dilihat mampu menyumbang kepada kemenangan parti pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Kita yakin beberapa kerusi yang sebelum ini dirampas pembangkang akan berjaya ditawan semula berdasarkan kaji selidik yang telah dijalankan (BN Johor) sekali gus meningkatkan komitmen kita untuk menawan kembali (kerusi-kerusi berkenaan)," kata Mohamed Khaled, yang juga Menteri Besar Johor itu.

Ini kerana hasil kajian mendapati mutu perkhidmatan wakil rakyat parti pembangkang di setiap kawasan diwakili adalah rendah malah ada di antara mereka tidak dikenali masyarakat setempat, katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA Pasir Gudang di Johor Jaya, dekat sini, hari ini.

Tambah Mohamed Khaled lagi, pendekatan berbeza juga akan digunakan MCA pada PRU14, berbanding pendekatan sebelum ini.

Bagi memastikan kemenangan, semua parti komponen termasuk juga MCA, perlu memainkan peranan masing-masing selain menjalankan persiapan bagi menghadapi PRU14 dengan baik.

"Saya lihat MCA juga bersedia selain mengenal pasti calon-calon yang terbaik untuk menghadapi PRU14," kata beliau.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika mengulas persediaan MCA membantu BN Johor memenangi semula beberapa kawasan yang sebelum ini ditawan parti pembangkang.

Sebelum ini, MCA dilaporkan mengenal pasti beberapa calon untuk bertanding di kerusi yang dimenangi pembangkang pada PRU lepas, antaranya kerusi Dewan Undangan Negeri Johor Jaya dan Parlimen Gelang Patah yang berada di tangan DAP.

-- BERNAMA