KUALA LUMPUR: Misi utama Barisan Nasional ketika ini adalah untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 dengan majoriti yang menyakinkan, demi menyelamatkan Malaysia, kata Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Lebih sinonim dengan panggilan Tok Mat, Timbalan Presiden UMNO itu berkata, ketika ini rakyat sangat terbeban dengan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup, yang beliau sifatkan sangat luar biasa.

Biarpun ketika ini UMNO dan BN menerajui kerajaan Persekutuan, namun usaha untuk membuat polisi dan dasar yang bersesuai sukar dilakukan dalam keadaan ‘terhad’ dan ‘tangan terikat’.

“Lihat saja apa berlaku pada negara ini bila BN ditewaskan pada 2018, PH has failed to govern, failed miserably. Semua segi kita merosot ke belakang. Bila kita terajui semula kerajaan ini, tangan kita terhad dan terikat.

“Ini kerana kita tiada kuasa dominan, terpaksa akur dengan kekangan dan persefahaman politik dengan sekutu dan seteru. Jika mahu bertindak sikit, agresif, atau lain daripada selera mereka, kita diancam, diugut, sikit sikit nak tekan butang. Dekat Johor dia nak tekan butang, akhirnya kita tekan butang, padan muka dia,” katanya merujuk kepada kemenangan besar BN di Pilihan Raya Negeri Johor pada awal tahun ini.

Tok Mat berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Konvensyen BN bertemakan “Kesetiaan dan Kestabilan”, bersempena dengan ulang tahun gabungan parti itu yang ke-48, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, BN perlu mengambil alih kembali pentadbiran Malaysia bukan kerana parti itu gila kuasa, tetapi demi mengembalikan semula kestabilan politik di negara ini.

“BN mesti ambil alih semula kerana kita mahu kembalikan kestabilan politik di Malaysia. Ketidakstabilan yang berlaku dalam tiga tahun ini telah menjerumuskan Malaysia sehingga 20 tahun ke belakang.

“Bayangkan jika keadaan ini berterusan, Malaysia akan jadi ketinggalan dan tercorot. Jadi kita perlu pasakkan dalam sanubari, supaya rakyat jangan bereksperiman dengan politik, sebaliknya mereka perlu rasional dan objektif, bukan emosional dan terbawa dengan sentimen,” katanya lagi.

Selain itu, Tok Mat berkata, BN juga perlu kembali mentadbir Malaysia supaya dapat memastikan masa depan yang lebih baik untuk negara bagi generasi akan datang.

Urusan pentadbiran negara, tegasnya lagi, bukan semata-mata untuk kemandirian hari ini, tetapi untuk bina asas kelangsungan hari esok.

BACA: Persepsi BN gila kuasa, korup membimbangkan, imej perlu diperbaiki semula - Mohamad Hasan

“Kita bukan hanya mewarisi negara daripada generasi lepas, tapi kita turut meminjam negara daripada generasi akan datang. Kita perlu singkirkan noda dan kesalahan generasi sedia ada, sediakan landasan lebih baik untuk generasi akan datang, supaya Malaysia lebih makmur maju dan sentosa.

“Ini bukan zaman kita lagi, jangan terus hancurkan zaman ini, dan tinggalkan Malaysia dalam keadaan parah dan lelah. Maka BN mesti cipta masa depan terbaik untuk generasi seterusnya,” katanya lagi.