Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed menepis dakwaan bahawa Barisan Nasional akan membawa kerosakan agama di Kelantan sekiranya rakyat memilih untuk beralih angin menyokong BN dalam pilihan raya umum kali ini.

Sebaliknya beliau menegaskan BN hanya akan menambah kebaikan yang telah dilakukan oleh Pas selama ini terutamanya dengan membawa kemajuan dari segi infrastruktur dan ekonomi.

Tegas beliau, tuduhan bahawa sekiranya BN dan UMNO memerintah Kelantan maka akan wujud kedai menjual loteri serta arak dan pusat hiburan adalah dakwaan yang tidak benar.

"Apa juga yang baik yang dibuat kerajaan (Pas) hari ini kita akan teruskan kerana Islam itu satu dan kita sama, yang hak, batil dan mungkar itu benda sama," kata Mustapha.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Media BN yang dibuka sempena PRU-13 ini di sini, pada Sabtu.

Jelas Mustapha, jika diberi mandat kali ini, BN dan UMNO akan menyelesaikan semua isu tanah dan air bersih yang dihadapi oleh rakyat serta membangunkan perumahan rakyat yang lebih banyak demi kesenangan rakyat Kelantan.

Mustapha mengulas penyebaran risalah di seluruh Kelantan yang membawa mesej kononnya negeri itu akan rosak sekiranya BN memerintah dan kegiatan maksiat akan berleluasa.

Tegas Mustapha, penyebaran risalah itu bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat Kelantan yang kini dilihat sudah bersiap sedia untuk melakukan perubahan selepas Pas memerintah Kelantan sejak 1990.

Dalam pada itu, Mustapha turut menarik perhatian bahawa dalam tempoh lebih dekad itu pun, kerajaan Pas gagal menangani kegiatan maksiat seperti yang didedahkan oleh media.

Dalam perkembangan lain, Mustapha memberi ingatan kepada petugas jentera pilihan raya supaya menjaga tingkah laku dan mengelakkan provokasi yang boleh mencetuskan suasana tegang.

Mustapha mengulas insiden kereta penyokong Pas yang didakwa melanggar kereta penyokong UMNO serta insiden cabar-mencabar yang berlaku antara penyokong dua parti itu beberapa hari lalu di Pasir Puteh dan Bachok.

Kes itu sudah dilaporkan kepada polis dan sedang disiasat.