Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini berkata BN tidak berminat untuk masuk campur dalam urusan MIC.

Jelasnya, penubuhan sekretariat khas untuk menyelesaikan krisis parti itu hanya satu cadangan kepada parti yang dilanda berbagai masalah itu.

Katanya, BN hanya memberi cadangan untuk membantu pihak yang bertelagah dalam MIC dan terpulang kepada parti itu untuk menerima atau tidak.

Ujarnya, MIC perlu akur kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) jika tidak mahu menerima cadangan BN untuk membantu parti itu.

Beliau turut menyarankan supaya pihak MIC tidak lagi membuat sebarang kenyataan media berhubung isu dalaman parti itu, sebaliknya mereka seharusnya menyelesaikannya secara tertutup.

“Saya sebagai Setiausaha Agung BN, kita nak tengok semua ahli komponen mengikut peraturan kerana kita merupakan parti yang akur kepada undang-undang. Kita tak nak salah satu parti komponen kita tidak akur kepada undang-undang,” katanya.

“Jadi jangan salah tanggap bahawa kita nak ambil alih MIC, tak ada niat Barisan Nasional nak ambil alih MIC,” katanya lagi.

“Kadang-kadang puak ini panggil, puak itu tak datang, puak itu panggil, puak ini tak datang. Saya harap janganlah, kita ni parti yang lama, parti yang matang. Kita juga berharap ahli-ahli parti pun matang,” Tengku Adnan berkata.

Beliau berkata demikian dalam sidang media majlis penyerahan lesen premis kepada pengusaha hotel bajet sekitar Kuala Lumpur.

Tengku Adnan berkata sekretariat khas ini akan membantu MIC menjalankan proses pemilihan baharu parti bermula April depan.

Ia juga akan membantu MIC membuat pembersihan semua cawangan, bahagian serta menjalankan proses pemilihan semula parti mengikut perlembagaan parti itu.

Semalam, Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel menolak cadangan yang dikemukakan BN untuk menyelesaikan krisis parti itu dengan menubuhkan sekretariat khas.

Ini kerana beliau berkata, MIC mempunyai perlembagaan dan undang-undang parti yang membolehkan ahli-ahli parti sendiri menjalankan pemilihan tanpa campur tangan mana-mana pihak ketiga.

Timbalannya, Datuk Seri Dr S Subramiam pula menafikan telah memberi sebarang persetujuan kepada komponen BN yang lain untuk mentadbir urusan pemilihan parti.

Cadangan itu dikemukakan Tengku Adnan selepas beliau dan Dr Subramaniam mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga pengerusi BN di Putrajaya semalam.

Bagaimanapun, Palanivel tidak menghadiri perjumpaan itu dengan alasan isterinya sakit.

Krisis dalaman MIC tercetus selepas RoS membatalkan pemilihan bagi jawatan tiga Naib Presiden dan 23 anggota jawatankuasa kerja pusat CWC dalam Perhimpunan Agung MIC di Melaka pada November 2013.