KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun Bandar Raya Kuala Lumpur yang ke-50 (KL50).

Menurut kenyataan BNM pada Isnin, duit syiling peringatan ini akan dikeluarkan dalam dua denominasi iaitu Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf) dan Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.).

Duit Syiling Peringatan Perak Sterling mempunyai berat 31 gram dan diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5.

Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM275 sekeping, dengan sejumlah 1,000 keping telah ditempa, jelas BNM.

Sementara itu, Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated pula mempunyai berat 8.5 gram serta diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain.

Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping, dengan sejumlah 5,000 keping telah ditempa.

BNM menjelaskan duit syiling peringatan ini juga tersedia dalam bentuk set dua dalam satu untuk jualan pada harga RM330.

"Setiap set mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic. Sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelian," tambahnya.

-- BERNAMA