HAINAN (CHINA): Persaingan geopolitik dan geoekonomi dalam kalangan negara Asia, terutama dalam aspek teknologi termaju seperti yang ditunjukkan dalam industri semikonduktor, boleh menjadi perkembangan ke arah produktif atau sebaliknya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Asia juga perlu memastikan supaya persaingan tidak membawa kepada perpecahan, yang hanya akan meningkatkan kos dan menghalang kemajuan.

"Di satu sudut, kita perlu menyedari bahawa semua negara akan sentiasa berusaha untuk melindungi hak harta intelek mereka dan cuba untuk mendahului persaingan. Di satu sudut yang lain, kita perlu mengelakkan supaya persaingan tidak membawa kepada perpecahan dalam dunia teknologi, yang hanya akan meningkatkan kos dan menghalang kemajuan di masa hadapan.

"Itulah sebabnya saya percaya bahawa persaingan teknologi harus menjadi salah satu agenda utama perbincangan di peringkat tertinggi, bersama wacana mengenai keselamatan dan isu ekonomi umum," katanya ketika memberikan ucaptama di Persidangan Tahunan Forum BOAO untuk Asia 2023 di Hainan, China, pada Khamis.

Persidangan Tahunan Forum BOAO untuk Asia ( BFA) 2023

Perdana menteri turut menggariskan dua lagi aspek bagi mencapai perpaduan dan kerjasama dalam pembangunan, iaitu fokus kepada nilai penyatuan, serta isu-isu rakyat, khususnya membabitkan ekonomi dan kos sara hidup.

"Kita harus bekerjasama rapat dalam semangat kerjasama dan perpaduan yang berusaha ke arah mengurangkan ketidaksamaan yang menggalakkan keadilan sosial dan meningkatkan taraf hidup untuk semua.

"Saya memuji Perdana Menteri Li Qiang dan China kerana mengambil keseluruhan inisiatif ini untuk meneruskan pilihan raya dan dialog dengan negara-negara.

"Bagi menterjemahkan cita-cita tinggi kepada realiti praktikal, perpaduan dan kerjasama adalah contoh terbaik dalam merealisasikan Inisiatif Jalur dan Laluan. Dengan pandemik semakin meninggalkan kita, kita harus cuba mendapatkan semula momentumnya," katanya lagi.

Anwar dalam rangka lawatan ke China sehingga 1 April, di mana beliau akan bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping sebagai sebahagian daripada usaha untuk merancakkan semula hubungan diplomatik pasca pandemik.