PIHAK kerajaan khususnya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) yang baru ditubuhkan oleh kerajaan baru-baru ini boleh memberi pertimbangan untuk mengkaji dengan terperinci serta memberi pertimbangan untuk jadikan amalan bodek-membodek bagi mendapatkan sesuatu sebagai sebahagian daripada jenayah rasuah dan boleh didakwa dibawah mana-mana peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan rasuah yang ada dalam negara kita.

Mengikut fahaman tradisi atau konvensional yang ada pada masa kini mengenai maksud jenayah rasuah, rasuah bermaksud penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi.

Masalah sekarang suapan di sini selalunya difahami oleh orang ramai sebagai perkara yang melibatkan pertukaran wang atau benda-benda yang berharga, nyata dan boleh dilihat dengan mata kasar bagi mendapatkan sesuatu sebagai pulangan.

Mengikut takrifan suapan dibawah Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta SPRM 694] suapan ertinya (a) wang, derma, alang, pinjaman, fi, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, faedah kewangan, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain; (b) apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat; (c) apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;(d) apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan; (e) apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga; (f) apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, termasuk perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketidakupayaan yang dikenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan (g) apa-apa tawaran, aku janji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f).

Menurut takrifan yang diberikan ini jelas kepada kita bahawa secara umumnya suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.

Tidak ada status jelas mengenai amalan bodek-membodek untuk dapatkan sesuatu sebagai sebahagian daripada suapan atau pun rasuah. Bagi menjadi amalan bodek-membodek untuk mendapatkan sesuatu ini sebagai sebahagian daripada jenayah rasuah, pindaan perlu dilakukan terhadap segala peruntukkan undang-undang sedia ada seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah

Malaysia 2009 [Akta SPRM 694] dengan meletakkan kesalahan bodek-membodek itu sendiri dengan lebih jelas supaya isu ini dapat diatasi dengan lebih baik dalam negara kita.

Perlu diketahui amalan bodek-membodek untuk mendapat sesuatu patut juga dijadikan sebahagian daripada jenayah rasuah kerana walaupun ia tidak melibatkan pemberian atau pertukaran barangan tertentu seperti wang atau hadiah yang diberikan untuk mendapatkan sesuatu sebagai balasan, amalan bodek-membodek juga sedikit sebanyak mempunyai kesan yang buruk sama seperti jenayah rasuah.

Jika seseorang itu diberikan sesuatu sebagai balasan atas usaha bodek yang dilakukannya terhadap mana-mana pihak yang berkepentingan sedangkan mereka memang tidak layak untuk memiliki balasan terbabit sudah pasti ia akan memberi impak atau kesan buruk pada organisasi yang terlibat, kesan buruk kepada masyarakat serta kesan buruk kepada negara secara keseluruhannya.

Kesan buruk ini juga boleh menimpa kepada diri orang yang dibodek dimana mereka akan sentiasa hidup dalam dunia fantasi akibat sentiasa dibodek oleh pembodek.

Pada masa yang sama juga ia boleh mengundang persepsi negatif dikalangan orang ramai yang akan beranggapan amalan bodek-membodek ini menjadi satu kemestian untuk dilakukan oleh mereka dalam negara kita untuk mendapatkan sesuatu daripada mana-mana pihak yang berkepentingan tanpa perlu melibatkan keringat tenaga dan usaha.

Sekiranya perkara ini tidak dihentikan dari sekarang nescaya amalan bodek-membodek ini akan menjadi sebahagian daripada budaya dalam masyarakat kita serta akan merosakkan imej negara kita dimata dunia.

Oleh yang demikian adalah penting supaya pihak kerjaaan melalui pihak-pihak yang berkaitan untuk mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengatasi amalan bodek-membodek ini dalam negara kita.

Sudah sampai masanya kita melahirkan generasi rakyat Malaysia yang memiliki semangat integriti yang tinggi serta akhlak yang baik.

Cadangan ini boleh dibawa terus kepada pihak SPRM atau pihak GIACC yang baru ditubuhkan untuk kajian dan penelitian lanjut serta dijadikan sebahagian daripada usaha atau agenda untuk memerangi segala bentuk kesalahan atau jenayah rasuah dalam negara kita.